29 September, 2010

WAKTU TIDUR DI TASKA






Sering kali Pengasuh mengeluh tentang kanak-kanak yang tidak mahu tidur di waktu siang hari. Tidur amat penting untuk kanak-kanak agar mereka punya cukup rehat untuk memulakan semula aktiviti di waktu petang. Agar kanak-kanak punya emosi yang stabil, tidak meragam dan sebagainya. Bukan kanak-kanak sahaja yang perlukan waktu rehat, bahkan Pengasuh juga perlukan masa untuk berehat. Bagi yang beragama Islam, mereka perlukan masa untuk solat juga seperti solat zohor dan asar.

Untuk itu, Pengusaha perlu menyediakan jadual aktiviti harian yang lengkap termasuk waktu rehat@tidur di taska mereka. Jika kanak-kanak enggan memberikan kerjasama, pengasuh perlu kreatif. Gunakan cara berlembut atau sedikit bertegas dalam hal ini bukan memaksa, yang akhirnya akan meletakkan diri pengasuh dan juga kanak-kanak dalam keadaan "stress". Anda boleh mengubah arahan "tidur" itu kepada "berehat", atau boleh juga mengalih kepada melihat buku-buku bergambar, atau beritahu bahawa petang nanti ada aktiviti yang mereka akan lakukan, jadi mereka perlu berehat. Jika anda terlalu bertegas, kanak-kanak juga sukar memberi kerjasama kepada anda. Kanak-kanak biasanya akan meniru tingkahlaku orang lain seperti rakan sebayanya dan juga orang dewasa lainnya. Jadi, hati-hati dengan perkara ini.

Ingin juga saya ingatkan. Berehat@tidur untuk pengasuh bukanlah sehingga kebajikan kanak-kanak terabai. Adalah perlu untuk pengasuh mengambil giliran waktu rehat masing-masing. Maksud saya, setiap ruang rehat kanak-kanak perlu ada seorang pengasuh yang boleh memerhatikan keadaan kanak-kanak. Mungkin ada kanak-kanak yang perlukan bantuan anda di waktu itu.

Saya sendiri pernah berada di tempat anda(Pengasuh), bekerja dengan pengusaha lain. Pengalaman banyak mengajar saya, dan saya "belajar dari pengalaman" itu. Sekarang saya adalah antara Pengusaha yang mengusahakan taska sendiri. Alhamdulillah

27 September, 2010

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

Salam Aidil Fitri untuk anda. Semoga sambutan hari raya anda kali ini berjaya merapatkan silaturrahim sesama insan. Saya ambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri. Andainya ada kesilapan dan kelemahan dari pihak saya selama ini yang menguris perasaan anda, saya mohon seribu kemaafan.

Kepada yang telah berjaya memulakan perniagaan TASKA sendiri, saya doakan semoga anda lebih berjaya lagi di masa hadapan. Sekiranya anda belum berjaya mendapatkan status TASKA BERDAFTAR, sabar dan cuba sehingga berjaya. Paling penting, pastikan keselamatan dan kebajikan anak-anak serta kakitangan dalam jagaan anda tidak diabaikan. Jangan kerana anda sibuk untuk mengejar keuntungan sendiri, pihak lain yang terpaksa menanggung bebannya. Saya faham jika sesuatu yang dilakukan tidak memberikan pulangan, ianya bukanlah layak digelar perniagaan. Tapi, untuk mendapatkan keberkatan dari sumber rezeki itu, tanggungjawab sesama insan usah diabaikan.