26 December, 2010

HADIAH UNTUK DIRI SENDIRI




Tahun baru bakal menjelang. Bagaimana dengan perniagaan anda. Mungkin anda telah berjaya mencapai sasaran, atau mungkin juga belum tercapai. Apa pun, berehat sebentar. Hadiahkan diri anda dengan sesuatu. Sesuatu yang anda impikan. Mungkin kereta baru, rumah baru, telefon bimbit baru yang berbagai siri terdapat dipasaran, cawangan baru atau pengalaman baru.

Pengalaman baru, contohnya melanjutkan pelajaran untuk mempertingkatkan pengetahuan anda dalam perniagaan berkaitan kanak-kanak(Pendidikan Awal Kanak-Kanak). Tidak kira peringkat sijil, diploma, sarjana dan seterusnya. Ini berguna untuk anda pada masa akan datang. Sekarang ramai lepasan diploma berada dipasaran pekerjaan. Anda, sebagai pengusaha/pengasuh yang akan berhadapan dengan ibu bapa yang berpendidikan tinggi pada masa akan datang. Jadi, jika anda berkemampuan, ada kemahuan dan sedar akan hal ini, apa salahnya. Buka minda dan cuba dapatkan tempat di IPTA @ IPTS yang ada menawarkan program yang sesuai dengan bidang anda dengan tenaga pengajarnya yang berkelayakan.

Selamat Tahun Baru 2011 dan selamat berjaya untuk anda dan saya juga.. :)

18 December, 2010

JARINGAN DALAM PERNIAGAAN


Dalam perniagaan, perlukan jaringan(network). Begitu juga dalam perniagaan taska. Jika anda berkesempatan untuk menghadiri kursus, bengkel dan sebagainya cuba dapatkan seberapa ramai rakan yang mungkin boleh membantu anda. Bagi yang baru berhasrat memulakan perniagaan ini, saya sangat-sangat mengalakkan anda menyertai mana-mana kursus atau bengkel yang berkaitan dengan taska terutamanya Kursus Asas Asuhan Kanak-Kanak yang diiktiraf oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat. Di sini anda akan berpeluang bertemu dengan rakan-rakan yang baru, berkongsi idea, perolehi lebih kefahaman tentang "TASKA".

29 September, 2010

WAKTU TIDUR DI TASKA






Sering kali Pengasuh mengeluh tentang kanak-kanak yang tidak mahu tidur di waktu siang hari. Tidur amat penting untuk kanak-kanak agar mereka punya cukup rehat untuk memulakan semula aktiviti di waktu petang. Agar kanak-kanak punya emosi yang stabil, tidak meragam dan sebagainya. Bukan kanak-kanak sahaja yang perlukan waktu rehat, bahkan Pengasuh juga perlukan masa untuk berehat. Bagi yang beragama Islam, mereka perlukan masa untuk solat juga seperti solat zohor dan asar.

Untuk itu, Pengusaha perlu menyediakan jadual aktiviti harian yang lengkap termasuk waktu rehat@tidur di taska mereka. Jika kanak-kanak enggan memberikan kerjasama, pengasuh perlu kreatif. Gunakan cara berlembut atau sedikit bertegas dalam hal ini bukan memaksa, yang akhirnya akan meletakkan diri pengasuh dan juga kanak-kanak dalam keadaan "stress". Anda boleh mengubah arahan "tidur" itu kepada "berehat", atau boleh juga mengalih kepada melihat buku-buku bergambar, atau beritahu bahawa petang nanti ada aktiviti yang mereka akan lakukan, jadi mereka perlu berehat. Jika anda terlalu bertegas, kanak-kanak juga sukar memberi kerjasama kepada anda. Kanak-kanak biasanya akan meniru tingkahlaku orang lain seperti rakan sebayanya dan juga orang dewasa lainnya. Jadi, hati-hati dengan perkara ini.

Ingin juga saya ingatkan. Berehat@tidur untuk pengasuh bukanlah sehingga kebajikan kanak-kanak terabai. Adalah perlu untuk pengasuh mengambil giliran waktu rehat masing-masing. Maksud saya, setiap ruang rehat kanak-kanak perlu ada seorang pengasuh yang boleh memerhatikan keadaan kanak-kanak. Mungkin ada kanak-kanak yang perlukan bantuan anda di waktu itu.

Saya sendiri pernah berada di tempat anda(Pengasuh), bekerja dengan pengusaha lain. Pengalaman banyak mengajar saya, dan saya "belajar dari pengalaman" itu. Sekarang saya adalah antara Pengusaha yang mengusahakan taska sendiri. Alhamdulillah

27 September, 2010

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

Salam Aidil Fitri untuk anda. Semoga sambutan hari raya anda kali ini berjaya merapatkan silaturrahim sesama insan. Saya ambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri. Andainya ada kesilapan dan kelemahan dari pihak saya selama ini yang menguris perasaan anda, saya mohon seribu kemaafan.

Kepada yang telah berjaya memulakan perniagaan TASKA sendiri, saya doakan semoga anda lebih berjaya lagi di masa hadapan. Sekiranya anda belum berjaya mendapatkan status TASKA BERDAFTAR, sabar dan cuba sehingga berjaya. Paling penting, pastikan keselamatan dan kebajikan anak-anak serta kakitangan dalam jagaan anda tidak diabaikan. Jangan kerana anda sibuk untuk mengejar keuntungan sendiri, pihak lain yang terpaksa menanggung bebannya. Saya faham jika sesuatu yang dilakukan tidak memberikan pulangan, ianya bukanlah layak digelar perniagaan. Tapi, untuk mendapatkan keberkatan dari sumber rezeki itu, tanggungjawab sesama insan usah diabaikan.


16 July, 2010

IDEA DI TASKA



Anda masih tercari-cari idea untuk menceriakan kanak-kanak di taska anda?..

Mudah saja, saya syorkan anda untuk melakukan aktiviti bersama mereka dengan kadar kos yang paling minima. Tiada melibatkan kewangan sehingga ribuan ringgit hanya untuk menceriakan kanak-kanak. Kanak-kanak adalah golongan yang paling mudah dibentuk. Hatta dengan menggunakan helaian kertas, itu juga sudah menjadi suatu aktiviti yang menyeronokkan. Kanak-kanak tidak memilih jenama. Anda boleh KLIK DISINI sebagai rujukan.

Sekian.

28 May, 2010

PERNIAGAAN DAN PERUBAHAN


Dalam apa jua perniagaan, pasti ada perubahan yang berlaku. Seperti cuaca juga. Ada hujan , panas  dan kadangkala mendung saja.. Tidak terkecuali juga dalam perniagaan taska. Ianya sama ada, perubahan yang baik (menguntungkan) atau perubahan yang kurang baik (tidak menguntungkan atau dalam bahasa lainnya - rugi) . Adatlah tu..

Menurut kajian yang dikongsikan oleh pakar perniagaan yang saya kenali, tahun pertama sesebuah perniagaan adalah dianggap sebagai "tahun belajar". Ini adalah kerana tahap ini adalah tahap seseorang pengusaha mengenal perniagaannya sendiri. Harus tahu secara keseluruhan mengenai  perjalanan perniagaan anda dan apa yang berlaku/akan berlaku serta cara-cara menanganinya.. 

Oleh itu, pada tahun kedua, anda seharusnya telah faham trend perniagaan taska anda. Dan menurut beliau, tahun kedua adalah "tahun implementasi" bagi seseorang. Tahun di mana anda dapat menggunakan pengalaman yang ada di tahun pertama dan sebaiknya memperbaiki kelemahan yang ada.

Jadi, bila pula boleh dapat keuntungan? Maka, menurut beliau lagi, "kebiasaannya sesuatu perniagaan mendapat keuntungan yang lumayan pada tahun ketiga". Kebiasaannyalah.... Ini hanya kajian... Dan jika anda antara yang dipilih oleh-Nya untuk memperolehi rezeki tersebut pada tahun yang pertama, maka bersyukurlah. Jangan lupa pula tanggungjawab sebagai seorang manusia di muka bumi ini seperti berzakat, misalnya.

Jumpa lagi

16 May, 2010

SELAMAT HARI GURU


Tarikh 16 Mei merupakan tarikh yang penuh erti bagi guru/pendidik kerana diwartakan sebagai  Hari Guru yang disambut diseluruh negara. Di kesempatan ini saya ingin turut mengucapkan "Selamat Hari Guru" kepada seluruh pendidik/pembimbing awal di taska/tadika seluruh negara. Semoga segala usaha anda diberkati oleh-Nya. Amin..

20 March, 2010

JABATAN PERKHIDMATAN BOMBA DAN PENYELAMAT


SENARAI SEMAK BAGI KEHENDAK-KEHENDAK
UNTUK MENDAPATKAN KELULUSAN PENUBUHAN
TAMAN ASUHAN KANAK-KANAK (TASKA)
(JABATAN PERKHIDMATAN BOMBA DAN PENYELAMAT)


Kehendak bangunan
  1. Keadaan bangunan yang dibenarkan
  2. Mempunyai lebih daripada 1 tangga (bagi bangunan bertingkat)
  3. Tidak mengandungi bahan-bahan bahaya.
  4. Kedudukan TASKA tidak melebihi had kelengkapan tangga jentera bomba
v     Bandaraya – 40 meter
v     Bandar kecil – 10 meter
  1. Bukan bangunan tingkat basement

Ciri keselamatan bangunan
  1. Berhampiran dengan tangga keselamatan bagi taska yang terletak dalam bangunan bertingkat
  2. Mematuhi jarak perjalanan maksimum
  3. Tiada sistem sprinkler – 30 meter
  4. Mempunyai sistem sprinkler – 45 meter
  5. Had jalan mati – 9 meter
  6. Jarak minimum antara 2 pintu – 5 meter
  7. Mematuhi had maksimum mengikut bilangan pintu keluar
v     Bilangan orang maksimum bagi 1 pintu – 12 orang termasuk pengasuh
v     Bilangan orang maksimum bagi 2 pintu – 23 orang termasuk pengasuh

Kehendak teknikal
  1. Antara Taman Asuhan dengan bahagian-bahagian lain (dinaikkan ke paras tingkat – tempoh ketahanan api (TKA) 2 jam.
  2. Bilik penyediaan dengan Taman Asuhan (dinaikkan ke paras lantai tingkat) – TKA 2 jam.
  3. Dinding pejabat – TKA ½ jam

Kehendak kemudahan keluar dan pengosongan premis
  1. Mengadakan tanda keluar lampu kecemasan jenis kuasa tersendiri dalam premis tersebut
  2. Mengadakan trolley nisbah 1 : 6

Mengwujudkan refuge area
  1. Ruang legar (lobby)
  2. Koridor
  3. Kawasan terlindung dalam Taman Asuhan Kanak-Kanak

Mengadakan alat pencegah kebakaran dari jenis yang diluluskan
  1. 2 bilangan 4.5kg alat pemadam api mudahalih jenis debu kering
  2. Alat pengesan asap jenis kuasa tersendiri (self contained)


 KEHENDAK OPERASI
Kehendak langkah keselamatan                                                                                   
  1. Tidak dibenarkan menggunakan lilin/pelita
  2. Tidak dibenarkan menggunakan ubat nyamuk
  3. Tidak dibenarkan merokok dalam premis
  4. Tidak dibenarkan pembakaran terbuka atau memasak. Jika ada aktiviti hendaklah dijalankan dikawasan berasingan yang mempunyai ketahanan api yang dibenarkan.
  5. Tidak dibenarkan kanak-kanak masuk/dibawa ke ruang bilik penyediaan.
  6. Plug point yang rendah hendaklah ditutup dengan kemas
  7. Tidak dibenarkan menggunakan penyambungan wayar (extension cord)

JABATAN KESIHATAN


SENARAI SEMAK BAGI KEHENDAK-KEHENDAK
UNTUK MENDAPATKAN KELULUSAN PENUBUHAN
TAMAN ASUHAN KANAK-KANAK (TASKA)
(JABATAN KESIHATAN)


Kehendak persekitaran (operasi)
  1. Premis dan kawasan sekeliling hendaklah sentiasa dalam keadaan kemas dan bersih.
  2. Rumput dipotong dari semasa ke semasa.
  3. Tiada bahan buangan serta botol / tin yang menakung air.

Kehendak bangunan
Kehendak kemudahan kebersihan
  1. Menyediakan ‘elbow tab’
  2. Menyediakan susur tangan (handrails) untuk kanak-kanak yang kurang upaya.
  3. Mangkuk tandas tidak melebihi 150mm (6”) tinggi dari paras lantai.
  4. Basin mencuci tangan dengan ketinggian tidak melebihi 600mm (2’ – 0”) hendaklah disediakan dengan secukupnya.

Kehendak bangunan operasi
Komponen bangunan
  1. Dinding d idalam  dan di luar bangunan, siling dan lantai hendaklah sentiasa bersih dan memuaskan setiap masa.
  2. Lantai bilik mandi, tandas dan tempat buang air kecil serta parit hendaklah sentiasa didalam keadaan bersih, tidak licin dan air tidak bertakung.
  3. Mengadakan dapur, bilik mandi dan tandas yang sesuai  dan memuaskan serta bersih pada setiap masa.
  4. Mempunyai ruang dengan kemudahan-kemudahan membasuh yang mencukupi.
  5. Mempunyai tempat mmbuang sampah atau menggunakan tong sampah dan karung plastic seperti yang ditetapkan.
  6. Mematuhi kehendak minimum keluasan lantai 3.5 meter persegi (taska).
  7. Longkang di dalam kawasan taska hendaklah ditutup dengan papan tetulang konkrit untuk keselamatan.

Peralatan / perabot / kemudahan dalam bangunan
  1. Semua perabot, alat-alat elektrik dan lain-lain hendaklah berada didalam keadaan bersih dan memuaskan.
  2. Mengadakan katil/tempat tidur yang sesuai dan mencukupi.
  3. Menyediakan barang-barang permainan yang elok dan tidak berbentuk tajam.
  4. Mengadakan kelengkapan permainan yang sesuai dan selamat.
  5. Mengadakan telefon di bangunan pusat.
  6. Mengadakan buku daftar kanak-kanak dengan butir ibu/bapa/penjaga.
  7. Mengadakan buku pelawat.

Kehendak perubatan dan kesihatan
  1. Mengadakan peti kecemasan ditempat yang sesuai.
  2. Mengadakan pegawai perubatan pelawat dan butir-butir mengenai pegawai tersebut hendaklah dikemukakan.
  3. Mengadakan seorang yang berkelayakan dan berpengalaman untuk menjaga kanak-kanak (sister, jururawat atau seseorang yang berpengalaman dengan kanak-kanak).
  4. Mengemukakan laporan pemeriksaan perubatan tahunan (x-ray dan T.Y.B) bagi pelesen dan pekerja.
  5. Orang yang mengidap sebarang penyakit dilarang masuk  kedalam bangunan pusat.
  6. Binatang peliharaan seperti anjing, kucing, burung dan sebagainya tidak dibenarkan berada di dalam bangunan.

Penyediaan makanan
  1. Menyediakan makanan yang seimbang untuk kanak-kanak.
  2. Dilarang menyediakan makanan ringan (junk food) kepada kanak-kanak.
  3. Semua botol dan putting susu mesti dibasmi kuman.
  4. Makanan halal hendaklah disediakan untuk kanak-kanak yang beragama Islam.
  5. Alat-alat yang digunakan untuk menyediakan makanan hendaklah bersih.
  6. Tempat stor bahan-bahan makanan mestilah bersih dan selamat.

Kehendak umum 
  1. Mengadakan peraturan keselamatan yang memuaskan.
  2. Menyediakan jadual makan, tidur dan bermain yang sempurna bagi kanak-kanak yang berada di Taman Asuhan penjagaan melebihi 4 jam.

PIHAK BERKUASA TEMPATAN (PBT)


SENARAI SEMAK BAGI KEHENDAK-KEHENDAK
UNTUK MENDAPATKAN KELULUSAN PENUBUHAN
TAMAN ASUHAN KANAK-KANAK (TASKA)
(PIHAK BERKUASA TEMPATAN)


Kehendak Perancangan
  1. Mengemukakan pelan dan dokumen ;
v     Pelan tapak
v     Pelan lantai
v     Ruang lantai yang akan ditukar kegunaan ditanda berkepong(edged) merah
v     Menyatakan jenis kegunaan yang dicadang dan keluasan ruang

  1. Lukisan keratan
  2. Lukisan tampak

Urusan tanah/percukaian
  1. Salinan hakmilik yang disahkan Pejabat Tanah Daerah
  2. Salinan cukai taksiran
  3. Salinan cukai tanah

Lain-lain dokumen
  1. Gambar-gambar tapak
  2. Surat perjanjian/kebenaran pemilik
  3. Surat sokongan pemilik/penghuni bersebelahan
  4. Salinan CFO
  5. Yuran memproses

Kesesuaian bangunan
  1. Rumah sesebuah(banglo)
  2. Rumah berkembar
  3. Rumah teres(lot tepi) dengan kawasan lapang dan tidak menyebabkan kesesakan kepada gangguan lalulintas
  4. Rumah pangsa(tingkat bawah)
  5. Bangunan pejabat (tingkat 1 hingga 2 kecuali dengan sokongan Jabatan Perkhidmatan Bomba)
  6. Bangunan komersial (mengikut sokongan Jabatan Perkhidmatan Bomba)
  7. Bangunan kilang (mengikut sokongan Jabatan Kesihatan dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan)

Kesesuaian tapak
  1. Tidak terletak dihadapan jalan utama
  2. Jalan keluar masuk sekurang-kurangnya 10 meter dari simpang utama
  3. Mempunyai kawasan permainan yang secukupnya diluar bangunan pusat

Kehendak taburan taska
  1. Mematuhi kehendak taburan yang ditetapkan 1:1500 penduduk

Kehendak pengiklanan
  1. Ditulis dalam Bahasa Malaysia
  2. Kedudukan ditempat yang sesuai

Kehendak bangunan
  1. Kehendak tangga(sekiranya bangunan bertingkat)
  2. Mempunyai 2 tangga/laluan bagi masa kecemasan
  3. Tangga kayu dan tangga konkrit hendaklah dialas dengan permaidani atau bahan yang lembut
  4. Tangga dipasang dengan pagar(railings) dengan ketinggian sesuai dengan ketinggian kanak-kanak

Kehendak pengudaraan dan pencahayaan
  1. Pengudaraan boleh kawal hendaklah 20% daripada keluasan lega lantai
  2. Pengudaraan bebas hendaklah 10% daripada keluasan lega lantai
  3. Pencahayaan semulajadi hendaklah 20% daripada keluasan lega lantai

Kehendak tingkap dan pintu
  1. Semua pintu dan tingkap hendaklah dibuka dari bahagian dalam
  2. Tingkap jenis bebilah (louvers) tidak dibenarkan
  3. Semua pintu dan tingkap ditingkat atas bangunan yang dipasang jeriji hendaklah dari jenis yang boleh dibuka
  4. Semua jeriji yang digunakan ditingkat bawah hendaklah dari jenis yang tidak tajam dan merbahaya serta boleh dibuka
  5. Menyediakan 2 pintu yang berasingan (1 dihadapan dan 1 belakang)

Kehendak kegunaan ruang
  1. Menyediakan ruang untuk kemudahan belajar dan bermain
  2. Ruang bermain/aktiviti dalam bangunan
  3. Ruang tidur
  4. Menyediakan ruang berasingan (sick bay)

Menyediakan ruang dapur
  1. Mempunyai pintu yang tidak mudah dibuka dan dimasuki oleh kanak-kanak
  2. Dipisahkan daripada ruang aktiviti lain
  3. Menyediakan ruang penyediaan makanan
  4. Mempunyai ruang penyimpanan makanan
  5. Pengasingan ruang antara bayi dengan kanak-kanak lain.

24 February, 2010

MACAM MANA NAK MULA?

Jika anda telah mendapatkan Buku Panduan Penubuhan Taman Asuhan Kanak-Kanak, adalah lebih baik anda bertanya lebih lanjut tentang isi kandungan yang ada didalamnya. Kemungkinan ada perubahan yang tidak terkandung didalam buku tersebut. Jadi, sila rujuk kepada Pegawai yang berkenaan yang bertanggungjawab dalam urusan pelesenan/pendaftaran taska di daerah masing-masing. 

Saya ringkaskan disini antara kehendak Jabatan Kebajikan Masyarakat dalam senarai semak bagi kehendak untuk meluluskan  penubuhan Taman Asuhan Kanak-Kanak. Walau bagaimana pun, ini hanyalah sebagai gambaran(mengikut pemahaman saya) untuk anda membuat persediaan awal sebelum mendaftarkan nama perniagaan anda di SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia). 

Berikut adalah antara kehendak JKM :-


Dokumen :
  1. Pelan Lantai
  2. Jadual Aktiviti
  3. Menu
  4. Senarai Kakitangan

Kehendak Operasi :
Berkaitan Kanak-Kanak
  1. Nisbah ruang 3.5 meter persegi bagi seorang kanak-kanak.
  2. Bilangan kanak-kanak berumur 4 tahun keatas tidak melebihi 9 orang.

Berkaitan Kakitangan
  1. Nisbah bilangan pengasuh
v     Lahir – 1 tahun            1:3
v     1 tahun – 3 tahun        1:5 (TERBARU-FEB 2010)
v     3 tahun – 4 tahun        1:10
  1. Syarat minimum 18 tahun ke atas
  2. Latihan dalam bidang pengasuhan kanak-kanak.
  3. Kelulusan Kursus Asas Asuhan Kanak-Kanak
  4. Pemeriksaan oleh Pegawai Perubatan

Perabut & Peralatan
  1. Sesuai mengikut saiz
  2. Cukup mengikut bilangan kanak-kanak
  3. Selamat digunakan mengikut tahap umur kanak-kanak

Aspek Pembelajaran :
Pembahagian ruang kepada sudut-sudut
  1. Sudut blok/binaan
  2. Sudut mainan/peranan/pondok²/masak²
  3. Sudut lukisan/kraftangan/pameran hasil kanak-kanak
  4. Sudut pra-baca
  5. Ruang pergerakan bebas

Susunan sudut
  1. Tidak menjejaskan pengawasan pengasuh
  2. Tidak menghalang pergerakan kanak-kanak
  3. Pamerkan bahan/peralatan/buku-buku
  4. Tetapkan tajuk yang tepat bagi setiap sudut

Poster/gambar/mural/hasil kanak-kanak
  1. Pamerkan pada ketinggian paras mata kanak-kanak.
  2. Melambangkan kebudayaan tempatan
  3. Gunakan tajuk yang sesuai untuk bahan yang dipamerkan

Kemudahan di dalam bilik bayi :
  1. Berhampiran dengan bilik air
  2. Tempat tidur yang selesa dan selamat (kanak-kanak yang sudah berjalan digalakkan tidur diatas tilam atas lantai)
  3. Gambar digantung pada paras yang rendah
  4. Mural yang berwarna-warni dan dilukis pada paras yang rendah
  5. Sediakan pelbagai jenis mobile yang digantung rendah

Kehendak jadual aktiviti
1.      Catatkan nama taska
2.      Catatkan umur kanak-kanak
3.      Jadual yang menyokong perkembangan menyeluruh kanak-kanak
4.      Mengikut peringkat umur
v     Lahir – 1 tahun
v     1 tahun – 3 tahun
v     3 tahun – 4 tahun

Kriteria pembahagian jadual aktiviti
  1. Dibahagikan dalam seminggu
  2. Aktiviti megikut pecahan hari dan waktu yang tertentu
  3. Penampilan dalam bentuk rajah
  4. Bermula dari masa beroperasi hingga waktu kanak-kanak pulang
  5. Setiap aktiviti maksimum 30 minit kecuali aktiviti rutin (makan,minum,rehat, tidur dan mandi)

Merangkumi
  1. Aktiviti luar
  2. Aktiviti dalam
  3. Aktiviti senyap
  4. Aktiviti kumpulan
  5. Aktiviti individu
  6. Aktiviti dirancang
  7. Aktiviti bebas

Kehendak pelaksanaan aktiviti
  1. Sesuai dengan umur
  2. Sesuai dengan kebolehan
  3. Tidak berulang
  4. Tidak pada waktu yang sama

Kehendak Menu
  1. Nama taska
  2. Umur kanak-kanak
  3. Bahagikan jadual menu kepada peringkat umur
    1. Lahir – 1 tahun
    2. 1 tahun – 3 tahun
    3. 3 tahun – 4 tahun

  1. Bahagikan dalam bentuk
                    i.            Seminggu
                  ii.            pecahan hari
                iii.            waktu tertentu
dalam bentuk rajah.

Sekali lagi saya berpesan, sila bertanya dan berbincang terus dengan pegawai yang bertanggungjawab berkaitan TASKA di JKM berdekatan anda. 

17 February, 2010

JADUAL DI TASKA

Selamat bercuti bagi anda yang berpeluang bercuti lama bersama keluarga tersayang sempena Tahun Baru Cina 2010. Bagi saya, sudah memulakan tugas harian pada hari ini termasuk menulis di blog ini untuk sedikit maklumat yang mungkin berguna untuk anda. Harapnya begitulah ya.

Ok, untuk mereka yang dalam persediaan untuk memulakan perniagaan taska, anda pasti sudah faham tahap umur yang dinyatakan bagi kanak-kanak di taska. 

Selain itu anda juga mungkin telah mengikuti Kursus Asas Asuhan Kanak-Kanak dan sudah memiliki sijil yang berkaitan. Anda sudah mengetahui tentang pembahagian umur kanak-kanak, bilangan kanak-kanak serta nisbah kanak-kanak bagi setiap pengasuh; saya ulangi lagi bahawa nisbah yang terkini (Feb 2010) adalah seperti berikut :-
 Umur 0-1 tahun adalah 1:3 (satu pengasuh : 3 kanak-kanak)
Umur 1-3 tahun adalah 1:5 (satu pengasuh : 5 kanak-kanak)
Umur 3-4 tahun adalah 1:10 (satu pengasuh : 10 kanak-kanak)

Jika anda sedang menyediakan Jadual Menu serta Jadual Aktiviti di taska, cuba sediakan jadual menu dan jadual aktiviti untuk 3 tahap umur tersebut.

Ini lebih memudahkan anda untuk membuat kiraan kos, caj perkhidmatan dan sebagainya sebelum memulakan perniagaan taska. Mungkin anda nampak ianya mudah dan anda mengenepikan tugas ini, tetapi kemudiannya anda pasti akan dapati beberapa kos tersembunyi yang anda terpaksa tanggung dikemudian hari jika tidak berhati-hati pada tahap permulaan ini.

Semoga berjaya!


29 January, 2010

10 PERKARA UNTUK BERJAYA DALAM PERNIAGAAN



Sekadar untuk berkongsi dengan anda sebahagian petikan dari buku berjudul "Succeeding In Small Business" oleh Jane Applegate. Dalam buku ini beliau menyatakan bahawa terdapat 10 perkara yang perlu ada untuk kejayaan sesebuah perniagaan kecil (small-business). Sila semak untuk kita sama-sama menilai apakah 10 perkara tersebut.
  1. If you use what you have, you have what you need.
  2. Before buying anything, ask yourself; a)Do I really need it? (b)Can I buy it used? (c)Can I borrow or rent it?
  3. At least once a day, tell yourself: "I can't do it all." Then, get help.
  4. No matter how busy you are, take a break for lunch.
  5. Every day, see your business as others see it. Walk out of your office, factory or store and walk back again.
  6. Always thank the people you work with. Thank your employees, customers, and vendors for doing business with you.
  7. Get to know a little about the people you do business with. People like to feel special.
  8. Take a few minutes at the end of the day to praise yourself for all you have accomplished.
  9. Take a few minutes to forgive yourself for all your mistakes.
  10. At the end of each day, make a list of all the things you've accomplished. Then, list a few things you need to tackle the next day.
Semoga kita sama-sama dapat menilai diri untuk kejayaan dihari mendatang. Wallahua'lam
 

21 January, 2010

MEMILIH KAKITANGAN TASKA




Antara perkara paling penting dalam setiap perniagaan perkhidmatan seperti taska adalah kakitangan @ staff @ pekerja dan lain-lain lagi panggilan yang diberi terhadap mereka ini.

Bagi pandangan saya, adalah lebih baik jika anda mengenali bakal pekerja anda. Sama juga seperti seorang mertua yang memilih bakal menantu untuk dijadikan sebagai ahli keluarga. Contohnya, anda mengenali dari mana asal, keluarganya, pendidikannya, lebih-lebih lagi peribadinya.

Mengapa begitu? Kerana bagi saya perkhidmatan taska ini bukanlah untuk mereka yang semata-mata mengganggap wang ringgit sebagai ganjarannya. Perkhidmatan taska ini lebih kepada "sentuhan" dimana ianya akan datang dari "niat" yang murni kerana tugasnya adalah untuk memberikan asuhan dan didikan awal kepada kanak-kanak. Sifat keibuan itu perlu sekalipun pekerja anda adalah lepasan SPM. Dengan ada sifat keibuan ini, insyaAllah mereka akan lebih rasa "ehsan", kasih terhadap kanak-kanak dibawah tanggungjawab. Pernah saya sebut di tulisan saya yang lalu, bahawa pilihlah kerana "agamanya". Kenapa pula begitu? Sebab seseorang yang menjalankan tanggungjawab agamanya dengan sendiri InsyaAllah akan dapat menjalankan tanggungjawab yang lainnya.

Mendidik dan mengasuh juga adalah salah satu tanggungjawab setiap insan di muka bumi ini, setuju?

10 January, 2010

KURSUS ASAS ASUHAN KANAK-KANAK




Assalamualaikum & salam sejahtera.

Selamat tahun baru 2010 (masih belum terlambat lagi rasanya). Banyak yang perlu dilakukan menjelang tahun baru tempoh hari. Maaf sebab agak lama tak update blog untuk maklumat mengenai TASKA untuk anda.

Walau bagaimana pun, untuk kali ini ingin saya berkongsi maklumat bersama anda yang berminat untuk menjalankan perniagaan taska sebagai sumber pendapatan tetap mahu pun sampingan.

Apa kata anda sertai kursus yang berkaitan dan diiktiraf oleh pihak berkaitan dengan perniagaan taska. Untuk itu saya sarankan anda untuk mendapatkan maklumat yang jelas berkenaan Kursus Asas Asuhan Kanak-Kanak, SILA KLIK DISINI 


Semoga tahun baru memberi sinar kejayaan kepada kita semua. Amin..