28 July, 2009

ANAK MENGGIGIT
















Anda mungkin pernah mendengar kisah mengenai kanak-kanak yang suka menggigit rakannya terutama kanak-kanak dalam usia bawah 4 tahun, sama ada lelaki atau perempuan. Ianya bukan hanya terjadi di TASKA yang menerima bilangan kanak-kanak yang ramai, malah juga boleh berlaku ketika di rumah atau di mana sahaja.

Jika anda terdengar jeritan secara tiba-tiba dan anda dapati jeritan itu adalah disebabkan kanak-kanak itu digigit oleh kanak-kanak yang lain, berikut adalah panduan ringkas untuk anda bagi menangani masalah seperti ini. Antaranya;
  1. Paling penting, jangan panik. Jangan menghukum kanak-kanak yang menggigit tadi dengan menggigitnya semula, kononnya dengan tujuan supaya dia dapat rasakan kesakitan yang dialami oleh rakannya itu. Tindakan ini tidak akan mendatangkan apa-apa kesan yang positif, malahan percayalah bahawa ianya akan berulang semula. Elakkan juga bergurau dengan menggigit kanak-kanak, kerana kanak-kanak mudah meniru.
  2. Kedua-dua kanak-kanak ini perlu diberikan perhatian. Segera berikan bantuan kepada kanak-kanak yang digigit, periksa lukanya, cuba tenangkannya tapi jangan lupa juga kepada kanak-kanak yang menggigit tadi. Dapatkan bantuan rakan Pembimbing Awal yang lain untuk membantu. Tunjukkan rasa ingin tahu anda yang membuatkannya marah dan kecewa. Galakkannya untuk minta pertolongan/mengadu kepada anda dan berikan perhatian kepadanya.
  3. Adalah dinasihatkan untuk anda menyediakan simpanan kiub airbatu di dalam peti dingin beku di TASKA sebagai persediaan awal sebelum kanak-kanak ini dibawa ke klinik dan maklumkan kepada ibu bapa lebih awal jika keadaan memerlukan anda berbuat demikian.
  4. Sebagai Pembimbing Awal, anda tentunya sudah mengetahui mengenai sikap kanak-kanak ini. Sentiasa awasi mereka. Anda mungkin sudah tahu tanda-tanda untuk berlakunya kejadian seumpama ini misalnya apabila kanak-kanak itu menjerit, menangis atau menghentakkan kakinya. Hentikan perlakuan seperti itu sebelum kejadian menggigit berulang seperti memeluk untuk menenangkannya.
  5. Kanak-kanak yang mempunyai potensi untuk digigit hendaklah dipisahkan atau dijarakkan supaya tidak menjadi mangsa untuk digigit untuk kedua kalinya. Cegah sebelum ianya berulang!

21 July, 2009

AMALAN KEBERSIHAN DI TASKA





















Kanak-kanak adalah golongan yang mudah dijangkiti penyakit terutama penyakit berjangkit. Amalan kebersihan perlu diamalkan setiap masa terutamanya di TASKA yang mengambil jumlah kanak-kanak yang tertentu. Bagi tujuan mengelakkan berlakunya jangkitan penyakit, pengusaha serta kakitangan perlulah "peka" dengan persekitaran dan mengamalkan beberapa langkah pencegahan seperti berikut;
  1. Bersihkan semua pinggan, mangkuk, cawan, sudu dan lain-lain sebelum dan selepas makan.
  2. Bersihkan dapur untuk menghindar dari lipas, tikus dan lain-lain serangga sebelum dan selepas makan.
  3. Bersihkan bilik air dan tandas. Elakkan air bertakung untuk mengelakkan pembiakan nyamuk. Keadaan lantai mestilah bersih dan tidak berlumut.
  4. Kutip semua sampah-sarap. Ini adalah untuk menghindarkan dari lalat dan serangga perosak bermaharajalela.
  5. Potong rumput yang panjang untuk mengelakkan ular.
  6. Mop lantai dan lap habuk pada tingkap supaya tidak kotor dan selamat untuk kanak-kanak menjalankan aktiviti.
  7. Bersihkan longkang.
  8. Bersihkan semua kelengkapan termasuk barang permainan kanak-kanak, peti sejuk dan almari terutama di dapur seminggu sekali.
  9. Basuh kain buaian, sarung bantal, alas tilam dan selimut.
  10. Jemur bantal dan tilam/tikar dan selimut.
  11. Binatang peliharaan seperti kucing dan anjing adalah tidak dibenarkan berada di sekitar kawasan TASKA.

12 July, 2009

PERSEDIAAN UNTUK MENUKAR LAMPIN BAYI






















Lampin, sama ada lampin pakai buang atau kain lampin amat perlu ditukar dengan segera apabila basah dan lebih lagi jika terdapat kotoran seperti najis. Ini dapat mengelakkan dari ruam lampin dan lain-lain penyakit kulit. Jadi apakah langkah yang perlu diambil sebelum anda melakukan aktiviti menukar lampin sebelum membersihkan kotoran ditubuh bayi?

Sila ikuti langkah berikut;
  1. Sediakan tempat tertentu untuk memakaikan lampin.
  2. Pastikan semua keperluan mudah diambil dan digunakan. Keperluannya adalah seperti; alas plastik, lampin yang bersih, tuala kecil, kapas atau tisu lembap, bedak bayi(jika perlu), seluar, baju, bekas untuk lampin kotor(misalnya beg plastik) dan pastikan juga ada bekas untuk membuang kotoran(tong sampah bertutup). Kemudian;
  3. Letakkan bayi di atas alas plastik. (Awas! jangan tinggalkan bayi). Tanggalkan lampin kotor dan masukkan ke dalam bekas yang telah disediakan.
  4. Bersihkan semua bahagian yang terkena najis dengan kapas/tisu lembap. Lap dari bahagian pinggang mengarah ke bawah punggung dan bukan sebaliknya.
  5. Untuk bayi yang lebih besar, basuh dengan air bersih.
  6. Lap hingga kering.
  7. Bercakap kepada bayi dan elakkan dari memarahi bayi atau berikan barang permainan yang mudah dipegang seperti kelentong untuk mengalih perhatiannya atau mengelakkan bayi menggeliat.
  8. Pakaikan lampin, seluar dan baju.
Mudah sahaja. Jangan mengambil masa yang terlalu lama. Bayi mungkin akan merasa bosan kerana penumpuannya terhadap sesuatu amat singkat. Anda perlu lakukan dengan cepat dan tepat!