29 June, 2009

FAHAMI KEPENTINGAN MAKANAN BAYI DAN KANAK-KANAK





















Gaya pemakanan oleh bayi dan kanak-kanak pada tahun pertama hidup kebiasaannya akan menentukan ia menjadi seorang dewasa yang sihat. Kurangnya pengambilan makanan yang sihat pada peringkat awal akan mendatangkan akibat yang tidak baik dan ianya tidak boleh dipulihkan semula. Berikut adalah antara ciri-ciri bayi dan kanak-kanak yang mendapat makanan yang seimbang :-

  1. Cergas dan bertenaga. Mampu melompat, berlari, memanjat dan sebagainya.
  2. Cerdas. Dapat menumpukan penuh perhatian terhadap aktiviti yang dilakukan.
  3. Bertindakbalas. Memberi reaksi apabila dipanggil.
  4. Kulit yang licin dan lembut. Tidak bersisik atau mudah dijangkiti penyakit.
  5. Mata yang berseri. Memperlihatkan kesihatan yang baik.
  6. Tumbesaran yang normal. Membina otot-otot, badan dan tulang yang sihat.
  7. Memelihara suhu badan. Melalui perpeluhan atau dikumuh melalui air kencing.

17 June, 2009

BERMULA SECARA KECIL-KECILAN





















Taska di rumah bermaksud;
"menerima masuk kurang dari 10 orang kanak-kanak berumur dibawah 4 tahun dengan upah".

Ramai beranggapan bahawa memulakan taska di rumah mengganggu "privacy" keluarga mereka. Bagi saya, adalah sesuai untuk memulakan perniagaan taska secara kecil-kecilan bagi surirumah yang ingin mengisi masa lapang di rumah sementara ahli keluarga yang lain keluar bekerja dan anak-anak telah bersekolah. Masa operasi juga boleh diatur. Misalnya anda tetapkan masa menghantar dan mengambil kanak-kanak, mengenakan bayaran lebih masa dan sebagainya.

Anda boleh menyediakan tempat yang khas untuk kanak-kanak ini, misalnya sediakan bilik yang khas untuk barang keperluan mereka atau sediakan satu sudut yang sesuai untuk kanak-kanak di bawah jagaan anda. Ada beberapa syarat yang saya ketahui mengenai taska dirumah ini. Misalnya premis yang dijadikan taska di rumah tidak perlu dihias, diatur luarannya sepertimana taska di institusi. Jadi, ini memudahkan anda untuk memulakan taska di rumah tanpa modal yang besar.

Bagi anda yang berhasrat untuk mengumpul modal secara kecil-kecilan mungkin dengan tujuan membesarkan lagi perniagaan pada masa akan datang tanpa membuat sebarang pinjaman untuk tujuan perniagaan taska, inilah cara yang paling selamat. Sementara itu, anda juga telah dapat mengumpul pengalaman menghadapi ragam kanak-kanak dan cara menanganinya kerana setiap kanak-kanak adalah unik dijadikan Allah dengan pelbagai ragam dan karenah untuk menguji kekuatan iman umat manusia. Wallahua'lam..

11 June, 2009

PROMOSI PERNIAGAAN





















Selain nama perniagaan, warna perniagaan, dalam apa jua jenis perniagaan termasuk perniagaan taska, promosi memainkan peranan yang sangat penting. Ini dapat kita ketahui melalui perkongsian seorang pakar dalam perniagaan dan motivasi dalam tulisannya versi e-book "101 Cara Promosi". Anda fikirkanlah antara 101 cara yang ada yang boleh di ketengahkan dalam mempromosikan perniagaan Taska anda. Salah satunya adalah promosi "word of mouth" di mana pelanggan yang berpuashati dengan perkhidmatan yang diperolehi dari perniagaan taska anda akan berkongsi pengalaman dengan orang yang terdekat seperti jiran dan rakan-rakan serta keluarga mereka.

Saya sendiri mewujudkan blog ini adalah kerana bidang ini merupakan "passion" saya. Sekalipun hanyalah "blog perniagaan Taska", saya masih perlu juga melakukan "promosi" agar orangramai tahu, apa itu TASKA? Cuma bezanya, saya cuma bermodalkan dibawah RM50 sahaja setiap bulan. Apa sahaja yang berkaitan dengan perniagaan, perniagaan berkaitan TASKA adalah pilihan saya.

Perniagaan Taska adalah dalam kategori "perkhidmatan". Jadi, fikir-fikirkan dan carilah maklumat yang berguna sama ada secara offline atau online untuk kebaikan anda dan perniagaan yang anda jalankan. Lakukan carian maklumat yang benar sahaja, segalanya dengan tujuan untuk "kebaikan".

04 June, 2009

KEBOLEHAN KANAK-KANAK DI USIA 1 TAHUN






















Apabila kanak-kanak telah mencapai usia 1 tahun, adalah merupakan sesuatu yang agak menyedihkan jika kanak-kanak masih tidak dapat dilatih melalui pengalaman yang asas misalnya dalam aktiviti pergerakan, berbahasa serta memegang objek yang kecil. Maka, adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa serta sesiapa jua Pembimbing Awal Kanak-Kanak tersebut untuk memastikan kanak-kanak ini mendapat hak mereka yang sewajarnya.

Di usia 1 tahun kebiasaannya kanak-kanak sudah boleh;
  1. Mula berjalan beberapa langkah tanpa pertolongan. Ruang yang rata dan tiada objek yang boleh menyebabkan kanak-kanak jatuh dan mencederakannya adalah penting untuk diambil perhatian.
  2. Membaling dan menjatuhkan objek. Sediakan bola yang mudah dipegang mengikut saiz yang sesuai untuk kanak-kanak membaling/menjatuhkan dan mengambilnya semula. Sediakan juga permainan seperti bentuk bungkah, puzzles yang mudah, kotak-kotak kecil atau botol plastik serta penutup yang sesuai saiznya supaya mudah dipegang oleh kanak-kanak untuk melatih motor halus dan motor kasar kanak-kanak ini.
  3. Kanak-kanak sudah mula aktif meneroka. Bawalah mereka untuk melakukan aktiviti luar supaya mereka dapat meneroka dengan lebih baik lagi. Selalu perhatikan pergerakannya dan beri peluang untuk memegang sesuatu seperti daun, bunga dan sebagainya sambil anda memberitahu apakah yang dipegangnya.
  4. Kanak-kanak sudah boleh mengulang 2-5 patah perkataan yang pendek. Elakkan menggunakan percakapan dalam bahasa kanak-kanak(pelat) sewaktu berinteraksi dengan mereka.
  5. Mula menyukai untuk membuka lembaran buku atau majalah serta melakar. Sediakan kertas yang besar untuknya melakar.
  6. Mahu melakukan sesuatu perkara sendiri, misalnya makan sendiri. Sediakan potongan/saiz makanan yang kecil supaya mudah untuknya menyuap sendiri serta dapat mengelakkannya dari tercekik.