27 May, 2009

REKOD DI TASKA





















Dalam apa jua jenis perniagaan, penyimpanan dan penyelenggaraan rekod amat penting. Bagi perniagaan taska ianya adalah bertujuan untuk menyimpan catatan mengenai segala aktiviti yang dijalankan di taska selain membantu meningkatkan sistem fail dan pentadbiran. Rekod ini bertindak sebagai sumber maklumat dan rujukan yang akan menjadi asas kepada perancangan di TASKA.

Peraturan 7(1) Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak (Di Institusi) 1985 menyatakan;

Peraturan 7(1) Penyelia suatu taman hendaklah menyelenggarakan rekod yang termasuk:-
  • Nama dan alamat tiap-tiap orang kanak-kanak yang diterima.
  • Nama jika berbeza daripada alamat kanak-kanak, alamat rumah sekurang-kurangnya seorang ibu atau bapa atau penjaga tiap-tiap orang kanak-kanak yang diterima masuk.
  • Alamat dimana atau bagaimana ibu atau bapa atau penjaga kanak-kanak boleh diberitahu dalam hal sakit atau kecemasan semasa kanak-kanak sedang hadir di taman.
  • Daftar kedatangan yang menunjukkan tarikh kedatangan kanak-kanak di taman.
  • Satu salinan kesihatan yang akan merekodkan butir-butir pembaharuan dalam pembesaran dan kemajuan tiap-tiap orang kanak-kanak semasa kanak-kanak berada di taman, termasuk butir-butir kemalangan atau sakit yang berlaku dan tindakan yang akan diambil untuk berhubung dengannya.
  • Bilangan kanak-kanak yang menghadiri taman pada tiap-tiap hari.
  • Nama, nombor kad pengenalan, alamat dan apa-apa butir berkenaan orang atau orang-orang yang menghantar kanak-kanak pergi dan balik ke taman.
Rekod-rekod yang tersebut dalam perenggan (1) hendaklah diadakan oleh Penyelia pada semua masa yang munasabah untuk diperiksa oleh Ketua Pengarah atau mana-mana pegawai yang diberi kuasa.

19 May, 2009

KEBOLEHAN KANAK-KANAK DI USIA 10 - 11 BULAN

Maaf bagi yang biasa berkunjung ke sini. Lama juga tak update blog sebab banyak blog yang perlu di update sebenarnya. InsyaAllah, kali ni saya sambung mengenai topik Tahap Kebolehan Kanak-Kanak di usia 10 - 11 bulan.

Antara kebolehan yang biasa akan anda lihat adalah;
  1. Kanak-kanak mula berdiri dan berjalan dengan pertolongan. Galakkannya untuk berdiri dengan memegang kepada dua tangan orang dewasa, kemudian bertukar kepada satu tangan sahaja. Galakkannya bermain dengan kanak-kanak lain.
  2. Suka pelbagai jenis makanan dan cuba makan sendiri. Perkenalkan kanak-kanak dengan makanan yang baru dan boleh mula memberikannya peluang untuk mencuba menggunakan cawan dan sudu yang sesuai.
  3. Gemar memasukkan jari ke dalam mulut. Cubalah bermain dengannya dengan permainan menggunakan jari tangan. Contohnya enjut-enjut semut, genggam gamit dan sebagainya.
  4. Mula cuba memanjat kerusi dan tangga. Berhati-hati dengan tangga. Adalah baik jika diletakkan penghadang supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini.
  5. Nyanyikannya dengan lagu yang menunjukkan anggota badannya supaya dapat diperkenalkan kepadanya nama anggota badannya sendiri.
Semoga anda berjaya dalam usaha pengasuhan ini. Salam hormat.

09 May, 2009

KEBOLEHAN KANAK-KANAK DI USIA 8 - 9 BULAN

Anda boleh perhatikan perkara berikut;
  1. Kanak-kanak berupaya merangkak dengan pantas. Jadi, bentangkan tikar yang bersih untuknya menjulur, merangkak dan duduk dengan selesa. Letakkan barang permainan lebih jauh lagi untuk menggalakkannya bergerak kehadapan.
  2. Apabila kanak-kanak boleh duduk dengan kawalan yang agak baik, berikannya permainan yang boleh dimainkan sambil duduk seperti permainan yang boleh diketuk, baling dan sebagainya.
  3. Kebiasaannya kanak-kanak di usia ini sudah boleh mengambil objek kecil menggunakan ibu jari dan jari telunjuk. Anda boleh melatihnya mengambil barang permainan yang kecil dan latihkannya memasukkan ke dalam bekas simpanan permainannya atau melatihnya mengambil makanannya sendiri dengan menyediakan saiz makanan yang sesuai.
  4. Kanak-kanak juga lebih mesra dengan orang yang biasa dengannya, berpaling apabila namanya dipanggil dan boleh menolak orang yang tidak biasa dengannya. Anda perlu kerap memanggil kanak-kanak dengan namanya.
  5. Membiasakannya dengan buku-buku yang sesuai, bacakan buku kepadanya dan anda perlu mengetahui lagu-lagu yang sesuai untuk kanak-kanak.

05 May, 2009

KANAK-KANAK DAN DEMAM





















Sekarang adalah musim panas yang amat sangat dan adakala hujan turun dalam sekelip mata. Bagi kanak-kanak, mereka akan bermain seperti biasa kecuali jika ditegah berbuat demikian dengan alasan "nanti demam". Mengikut kajian waktu yang terbaik untuk berada diluar rumah atau membuat aktiviti luar adalah antara sebelum 10 pagi dan selepas 3 petang. Ini ada kaitannya dengan pancaran ultra-violet yang dipancarkan oleh matahari ke bumi. Waktu pancaran uv yang merbahaya untuk kulit adalah diantara selepas jam 9 pagi hingga 4 petang. Jadi bagi kanak-kanak di TASKA, pastikan mereka berada dalam bangunan dalam waktu tersebut.

Kebiasaannya, pada waktu ini kanak-kanak di TASKA akan melakukan aktiviti di dalam bangunan TASKA yang tidak memerlukan pergerakan yang banyak misalnya, aktiviti bagi perkembangan bahasa seperti membaca ayat-ayat lazim atau bercerita atau menyanyi. Waktu ini juga adalah waktu untuk kanak-kanak makan dan tidur. Anda juga boleh merancang jadual aktiviti mengikut kesesuaian masa.

Jika kanak-kanak demam, pastikan anda memaklumkan secepat mungkin kepada ibu bapa dan pastikan juga kanak-kanak ini diberi rawatan awal. Jika boleh ibu bapa ditegah untuk meninggalkan kanak-kanak yang sedang demam di TASKA kerana dibimbangi akan menjangkiti kanak-kanak yang lain.

04 May, 2009

BILA KANAK-KANAK MERAGAM

Kanak-kanak yang meragam dan tidak mahu berikan kerjasama, jangan gunakan kekerasan. Cuba gunakan pendekatan psikologi terhadapnya. Misalnya jika anda sedang bercuti dan banyak tempat yang ingin dilawati, pastikan kanak-kanak mendapat rehat yang cukup. Sekiranya anda sudah sampai ke destinasi seperti restoran, tetapi dia masih berdegil tidak mahu turun dari kenderaan, anda pastikan ahli yang lain pergi dahulu dan anda tunggu didalam kenderaan bersamanya untuk beberapa minit. Setelah dia nampak sedikit tenang, cuba pujuk dia sekali lagi. Kalau dia tetap berdegil, katakan anda cuma minta dia menemankan anda sahaja sekalipun dia tidak mahu makan atau minum. InsyaAllah dia pasti akan berikan kerjasama.