31 March, 2009

PERKEMBANGAN BAYI 0-1 BULAN




















Antara kebolehan bayi diawal usia ini adalah;
  1. Tidur (kebanyakan waktunya).
  2. Kepala tidak boleh tegak dengan sendirinya, berhati-hati ketika memegangnya.
  3. Mudah terkejut(petanda baik bagi deria pendengarannya), bergolek dan mengerakkan tangan kesemua arah.
  4. Jari tangan menggenggam rapat.
  5. Bahagian kepala mudah menoleh kearah yang menyentuh pipi dan mulutnya.
Walaupun begitu, beberapa aktiviti rangsangan boleh dilakukan untuk bayi. Contohnya;
  1. Tepukkan tangan anda secara perlahan atau petik jari anda berdekatan telinga bayi.
  2. Berikannya peluang menggenggam jari anda.
  3. Tepuk pipinya perlahan-lahan.
  4. Bunyikan loceng, kelentong dengan nada bunyi yang sederhana.
  5. Paling penting, jika boleh berikannya susu ibu.

27 March, 2009

KUASA UNTUK MEMILIH






Dalam usaha anda meningkatkan ekonomi keluarga terutama diwaktu gawat ini, antara pilihan yang ada bagi anda yang bekerja adalah untuk menghantar anak-anak kepada orang yang sanggup menjaga mereka sementara anda bekerja. Antara pilihan yang ada ;

  1. Ibu bapa anda sendiri. Antara rasa tanggungjawab atau terpaksa untuk membantu menjaga anak-anak anda walaupun mereka kadangkala tidak mampu untuk melayan karenah kanak-kanak.
  2. Pembantu rumah. Bayaran untuk agen pun dah cukup tinggi. Kadangkala ada kisah pembantu lari, tinggalkan anak-anak majikan dirumah. Iye, saya tahu anda membayar gaji mereka, makan tanggung dsbnya. Tapi, cuba bayangkan kebanyakan mereka melakukan semua kerja a-z sehinggalah tugas mencuci kereta. Dari awal pagi, sampai kelewat malam. Penat kan? Banyak juga risikonya.
  3. Pengasuh atau jiran. Kadangkala mereka bukan menjaga anak anda sahaja, bahkan anak mereka sendiri. Ditambah dengan rutin harian dirumah, pagi hingga malam. Meletihkan...atau kadangkala musim cuti sekolah, mereka perlu juga bercuti dengan anak-anak sedangkan anda terpaksa juga bekerja. Jadi, di mana nak hantar anak?
  4. TASKA atau Pusat Jagaan Kanak-Kanak. Yang ini mungkin pilihan yang tepat untuk anda. Dengan adanya pemantauan dari JKM, insyaAllah anda tidak perlu risau. Anda boleh membuat pilihan, lagi banyak TASKA yang ada disekitar tempat tinggal anda lebih baik. Yang pastinya PILIHAN di TANGAN ANDA!

23 March, 2009

TIPS MENDISIPLINKAN KANAK-KANAK

Disiplin secara umumnya bermaksud " peraturan yang ditetapkan untuk melatih seseorang supaya berkelakuan baik". Namun, maksud peraturan yang digunakan disini adalah bersifat agak tegas dan 'mesti'.

Malangnya, bagi kanak-kanak yang sedang melalui proses pembesaran, mereka tidak mahu terkongkong dengan perkataan 'jangan'. Perkataan ini seolah-olah memberikan tanda tanya dan akan menyemarakkan lagi rasa ingin tahu mereka. Bagi Pembimbing Awal yang mahir, penggunaan perkataan 'jangan' akan disertai dengan sebab dan alasan yang kukuh supaya kanak-kanak dapat memahami dengan mudah.

Mendisiplinkan kanak-kanak adalah tanggungjawab besar ibu bapa, bermula dari usia awal kelahirannya. Ianya penting untuk membentuk perkembangan mental dan emosi yang seimbang. Pada peringkat 1 - 7 tahun, kanak-kanak menjadikan ibu bapa, kakak, abang serta orang dewasa yang paling hampir dengannya sebagai contoh dalam kebanyakan situasi. Oleh sebab itu, orang dewasa jika di TASKA adalah Pembimbing Awal bertanggungjawab menunjukkan nilai yang baik kepada kanak-kanak. Jika dirumah, ibu bapa dan mereka yang lebih dewasa mempunyai tanggungjawab yang sama seperti Pembimbing Awal ini. Supaya kanak-kanak tidak terkeliru, kedua pihak ibu bapa dan Pembimbing Awal ini perlu mempunyai komunikasi yang baik serta berbincang mengenai perkembangan disiplin kanak-kanak ini.

Pada umur 3 tahun keatas, kebiasaannya kanak-kanak akan menunjukkan sikap tidak mahu terlalu bergantung kepada orang dewasa. Ini menandakan mereka sudah membina identiti sendiri dan berasa lebih selamat, tetapi tidak bermakna kanak-kanak menjadi seorang pemberontak. Menunjukkan sifat degil adalah cara bagi kanak-kanak menunjukkan ketegasannya. Apabila dia menolak untuk bekerjasama, dia sebenarnya sedang cuba memberitahu "Saya tidak suka peraturan ini".

Jadi, apakah yang perlu dilakukan (berusahalah, walaupun kadangkala bukan semudah itu);

  1. Fahami. Cuba letakkan diri anda ditempatnya. Contohnya jika anda mahu dia makan pada waktunya. Jika dia sedang seronok bermain, hampirinya, peluk dan beritahu mengapa dia perlu makan. Secara psikologinya anda memberitahu bahawa anda mengambil berat dan ingin tahu mengapa dia tidak mahu makan. Jangan memarahinya tetapi pastikan dia makan apa yang sepatutnya.
  2. Tetapkan had. Setiap yang dilakukan ada batasan atau hadnya. Lebih-lebih lagi jika di TASKA. Contohnya, jika sudah sampai waktu tidur/rehat, beritahu dia perlu ambil waktu itu untuk merehatkan badan setelah melakukan aktiviti yang lainnya supaya dia dapat meneruskan aktiviti yang lainnya pada sebelah petang misalnya. Sebelum tidur, galakkan dia membersihkan diri serta menukar pakaian. Jika dia masih tidak mahu tidur, galakkan dia berbaring dahulu, ajarkannya membaca doa tidur, pastikan cahaya yang masuk kebilik tidak terlalu terang, tiada bunyi yang boleh menganggunya. InsyaAllah, dari pengalaman saya sendiri ianya berjaya.
  3. Beri perhatian. Selain dari memberi perhatian kepadanya ketika dia nakal atau degil, anda juga perlu dekatinya ketika dia dalam situasi 'angin baik'. Beritahu apa yang betul dan tidak betul. Kebiasaannya apabila anak melakukan kesalahan, dia akan rasa bersalah. Jadi, anda tidak perlu cepat mengamuk, sebaliknya cakap secara baik dan jelaskan mengapa anda marah kepadanya.
  4. Mendisiplin bukan bermakna mengawalnya. Mendisiplin bermaksud mengajar kanak-kanak mengawal dirinya sendiri. Hukuman mungkin boleh mendisiplinkannya, tetapi kadangkala tidak memberi kesan kepada kanak-kanak. Jika rasa marah anda membuak, jauhi diri darinya dan apabila anda tenang semula, beritahu dia apa yang patut dan tidak patut dia lakukan.
  5. Beri peluang memilih. Kanak-kanak memerlukan ruang untuk membuat pilihan sendiri. Jadi,berilah mereka peluang. Mulakan dengan yang mudah, misalnya beri dia peluang membuat pilihan pakaian yang disukainya. Sekali lagi beritahunya apa yang boleh dan tidak boleh atau yang sesuai dan tidak sesuai untuknya.
Tips di atas bukanlah satu jaminan untuk kanak-kanak tidak lagi bersikap degil, tetapi dengan kesabaran anda, kanak-kanak sebenarnya secara perlahan akan belajar bahawa berdegil bukan cara terbaik untuk mendapatkan apa yang dia mahukan.

16 March, 2009

PENGASUH/PEMBIMBING AWAL KANAK-KANAK

Jika anda berbicara mengenai TASKA, antara perkara yang perlu anda ketahui adalah; "siapakah pengasuh/pembimbing awal kanak-kanak ini?".

Bagi pihak ibu bapa, pengasuh/pembimbing awal boleh dianggap sebagai ibu bapa gantian sementara mereka bekerja. Ini adalah disebabkan kanak-kanak kebiasaannya mempunyai lebih masa bersama pembimbing awal mereka iaitu antara 10-12 jam sehari, kadangkala lebih dari jangkamasa itu, 5-6 atau 7 hari dalam seminggu.

Kanak-kanak pula akan mengganggap pembimbing awal ini adalah sebagai "teman rapat" dan dianggap sebagai "role model", seorang yang boleh dicontohi. Kini, tiada lagi(diharapkan begitulah) anggapan bahawa Pembimbing Awal ini disamakan dengan Pembantu Rumah. Pengasuh masakini perlu dianggap sebagai seorang profesional yang peka dalam hal ehwal pengasuhan kanak-kanak.

Bagi pihak pengusaha, mereka adalah diibaratkan sebagai Pegawai Perhubungan Awam(PRO) atau front liners di sesebuah institusi TASKA. Mereka ini sama ada berupaya menaikkan atau pun menjatuhkan imej sesebuah TASKA. Mereka sama ada boleh menjadi madu atau pun juga menjadi racun dalam perniagaan itu.

Pembimbing Awal ini perlu mempunyai sifat-sifat seperti berikut;
  1. Memiliki minat semulajadi terhadap kanak-kanak.
  2. Sihat, tiada penyakit merbahaya yang boleh berjangkit.
  3. Seorang yang cergas, ceria, penyabar dan penyayang.

Mereka juga harus memiliki sikap dan nilai seperti berikut;
  1. Perwatakan yang menarik seperti lemah lembut, sentiasa kemas dan bersih.
  2. Seorang yang adil dan mengikut cara mendisiplin kanak-kanak yang diiktiraf oleh pihak pengurusannya.
  3. Baik tingkah lakunya serta budi bahasa dikalangan kanak-kanak dan dewasa
  4. Yakin diri, kreatif dan proaktif
  5. Punyai ilmu pengetahuan tentang perkembangan kanak-kanak
  6. Mampu memotivasi diri dalam mencari ilmu dalam memajukan diri demi untuk kebaikan kanak-kanak.
Paling baik, jika mereka adalah dikalangan yang taat mendirikan solat fardhu 5 waktu. Kerana dengan cara ini, dengan sendirinya mereka telah memiliki rasa tanggungjawab menjalankan kewajipan yang lainnya tanpa perlu disuruh dan dipaksa. InsyaAllah

14 March, 2009

BENGKEL TEKNIK BERCERITA SIRI 1

Berikutan pengumuman yang telah saya buat pada tulisan yang lalu, saya telah turut menyertainya dengan penuh rasa minat dan ingin tahu. Terlebih dahulu terima kasih kepada Perpustakaan Negara Malaysia (Puan Norhasliza) yang memberi maklumat kepada saya serta kakitangan yang bekerjasama dengan peserta yang menyertai Bengkel Teknik Bercerita ini. Disediakan makan dan minum, percuma pula. Terima kasih juga atas kerjasama Mama Zakiah dan Puan Sakae Sasamori atas bimbingan dan perkongsian ilmu ini.

Yang pastinya, bengkel ini masih belum berakhir. Masih ada beberapa siri lagi yang harus kami tamatkan. Akan menyusul siri keduanya, InsyaAllah pada 4/4/2009 ditempat yang sama. Untuk kawan-kawan baru yang mungkin singgah keblog saya ini, kita jumpa lagi disana. Untuk anda juga pengunjung blog saya yang tak seindah mana ini, saya bawakan sedikit "buah tangan" dari Bilik Serbaguna PNM untuk tatapan bersama.

Dari kiri Puan Zakiah(Mama Zakiah), ditengah tu sayalah, dan disebelah kanan gambar ni adalah Puan Sakae Sasamori, arigatogozaimasu!..

12 March, 2009

CADANGAN PENCEGAHAN DI TASKA

Perkara utama dan sering terjadi, dilaporkan di media massa ialah akibat dari tersedak semasa kanak-kanak atau bayi menyusu. Sila ambil perhatian(wahai ibu bapa, pembimbing awal dan pengusaha), walau nampaknya seolah remeh tetapi ianya amat penting. Penting untuk masa depan kanak-kanak, bayi, ibu bapa, Pembimbing Awal dan juga pengusaha. Kenapa saya katakan demikian?

Jika berlaku perkara seperti tersedak sewaktu penyusuan, ianya melibatkan nyawa kanak-kanak atau bayi tersebut jika tidak diambil tindakan dan langkah pencegahan segera.

Ibu bapa juga akan menerima kesan dari sudut psikologi. Perasaan marah, sedih, menyesal bercampur baur.

Pembimbing Awal akan menerima pandangan buruk dari ibu bapa, masyarakat dan pengusaha terpaksa mengambil tindakan terhadap kelalaian anda.

Pengusaha akan menerima tamparan hebat, terjejas kepercayaan ibu bapa terhadap perniagaan anda. Terpaksa juga menerima tindakan "tutup operasi" oleh pihak berkuasa.

Jadi apa pilihan yang ada?

Beringat sebelum kena...cadangan saya;
  1. Elak dari meninggalkan kanak-kanak atau bayi bersendirian semasa penyusuan walaupun sesaat..
  2. Elak menggunakan kain atau bantal sebagai penyokong botol susu, jika terpaksa menggunakannya(kalau boleh dielakkanlah), pastikan anda berada disisi kanak-kanak atau bayi dan anda bukannya sedang tidur...zzzzz atau berbual...pot..pet..etc..
  3. Deria penglihatan dan pendengaran anda perlu peka dengan keadaan kanak-kanak atau bayi yang berada disekeliling anda. Usah pentingkan diri sendiri. Bekerjalah dalam semangat berkumpulan. Maksud saya, jika anda ditugaskan menjaga kanak-kanak atau bayi A,B,C, anda perlu juga perhatikan kanak-kanak atau bayi D,E,F yang dibawah pengawasan rakan pembimbing awal yang lain. Mungkin ada kesilapan atau kelalaian di pihak pembimbing awal tersebut. Sila perbetulkan dan beri teguran segera. Jangan tunggu hingga "nasi menjadi bubur".
  4. Sekiranya ada masalah diantara sesama pembimbing awal, sila berbincang dengan baik. Jika perlu, dapatkan bantuan pengusaha anda.
  5. Para pengusaha pula perlu "ambil tahu" mengenai kebajikan kanak-kanak dan bayi serta pembimbing awal di premis TASKA mereka. Jika boleh dapatkan khidmat seorang penyelia yang boleh menggantikan anda ketika ketiadaan anda di TASKA.
  6. Elak memberi susu sewaktu kanak-kanak atau bayi berada didalam buaian. Keluarkan kanak-kanak atau bayi dari buaian untuk tujuan penyusuan dan di"burp"kan selepas setiap kali penyusuan.
  7. Jangan biarkan kanak-kanak atau bayi berada terlalu lama didalam buaian. Dibimbangi akan menyebabkan berlaku kelalaian untuk memberikan mereka bendalir(susu) dan kejadian sawan. Inilah antara sebab mengapa penggunaan buaian tidak digalakkan terutamanya di TASKA.
  8. Jadual penyusuan perlu dijaga bagi setiap kanak-kanak dan bayi di TASKA. Pastikan kanak-kanak dan bayi menerima susu mengikut waktunya dan sukatan yang sesuai mengikut umur mereka. Sekali lagi, sentiasa wujudkan "teamwork" di TASKA anda. Semuanya akan menjadi mudah...
  9. Pengusaha perlu sediakan telefon talian tetap(penting dari sudut perundangan). Bukan telefon yang perlu di"top-up" sentiasa. Bayangkanlah jika berlaku kecemasan, dan pembimbing awal anda sudah kehabisan "kredit" telefon...Siapa yang susah...dan pastikan juga semua nombor telefon ibu, bapa, keluarga terdekat mudah untuk diakses.
  10. Dapatkan pengetahuan yang cukup dalam "first aid". Penting sebelum anda sempat mendapatkan bantuan dari klinik berdekatan.
  11. Pastikan bahagian badan keatas lebih tinggi sedikit dari bahagian punggung kanak-kanak atau bayi.
Sekian, mudah-mudahan tiada lagi cerita-cerita sedih kedengaran akibat permasalahan ini.

03 March, 2009

PENGUMUMAN

Saya terima makluman ini melalui blog saya, semalam. Ini bagi mereka yang berminat untuk menambah pengetahuan dalam pendidikan/pengasuhan kanak-kanak. Teruskan bacaan anda;......

Kami di Perpustakaan Negara Malaysia ingin mengadakan bengkel puppet show yg akan di kelolakan oleh mama zakiah (isteri Yusof Gajah,illustrator buku kanak- kanak)pada 14 hb Mac jam 9.30 - 4.30 ptg di PNM.

Kami menjemput semua untuk menyertainya kerana ia percuma.

Hubungi Hasliza : 03-26871743 utk keterangan lanjut.T/K.

Jadi, jangan lepaskan peluang ini. Jom sama-sama kita kesana...

Jumpa lagi..

01 March, 2009

LOKOMOTOR DAN BUKAN LOKOMOTOR

Dalam aktiviti pergerakan kreatif, kita akan bertemu dengan istilah pergerakan lokomotor dan pergerakan bukan lokomotor. Pergerakan lokomotor ialah pergerakan yang menyebabkan keseluruhan tubuh badan berubah kedudukan seperti berjalan dan berlari disebut bergerak dan beredar. Contohnya; meniru pergerakan keretapi.

Manakala pergerakan bukan lokomotor ialah pergerakan yang tidak mengubah kedudukan disebut bergerak tanpa beredar. Ianya lebih tertumpu kepada pergerakan bahagian tubuh badan pada sendi buka-tutup dan pusing putar. Contohnya; melambung, membaling, menggolek(spt; menggunakan bola) dan menampar alatan kecil atau besar(spt; menggunakan kompang).

Jumpa lagi!