18 February, 2009

PERKEMBANGAN KANAK-KANAK

"Perkembangan" bermaksud suatu perubahan yang tidak boleh diukur secara kuantiti tetapi ternyata telah berlaku dan boleh dilihat dalam satu tempoh yang panjang. Ianya menekankan kepada aspek keupayaan dan kebolehan seseorang untuk berfungsi dan berinteraksi dengan persekitarannya untuk keselesaan hidup sepanjang hayat. Ianya juga disebut "perubahan secara kualiti". Contohnya, kebolehan dari segi mengkoordinasi pergerakan anggota badan, bertutur, berinteraksi dan meluahkan perasaan dengan orang dan keadaan sekeliling.

Tahap-tahap perkembangan kanak-kanak terbahagi kepada 4 aspek yang nyata dapat dilihat dalam proses pembesaran kanak-kanak iaitu ;
  • Perkembangan Fizikal
  • Perkembangan Bahasa
  • Perkembangan Kognitif
  • Perkembangan Sosio-Emosi
Semua kanak-kanak akan melalui corak perkembangan yang sama, dan boleh dijangka dengan tepat apa peningkatan seterusnya selepas sesuatu kebolehan. Contohnya, dari segi perkembangan fizikal. Tahap-tahap yang dilalui oleh kanak-kanak ialah bermula :
  • Meniarap
  • Merangkak
  • Duduk
  • Berdiri
  • Berjalan
Jadi, apakah kepentingannya bagi PA(Pembimbing Awal) Kanak-Kanak mengetahui tahap-tahap perkembangan ini?
  1. Berupaya mengenalpasti kedudukan atau kebolehan kanak-kanak. Dengan ini PA tidak akan mengharapkan lebih daripada apa yang boleh dilakukan oleh kanak-kanak.
  2. Memahami bahawa setiap kanak-kanak adalah individu. PA hendaklah menyesuaikan aktiviti dan rangsangan mengikut ciri-ciri dan kebolehan kanak-kanak.
  3. Membuat perancangan aktiviti yang memahirkan kebolehan kanak-kanak ke peringkat atau tahap seterusnya.

15 February, 2009

PERSATUAN TASKA NEGERI SELANGOR

Semalam saya terima surat pekeliling dari Persatuan TASKA Negeri Selangor (PTNS). PTNS adalah dibawah naungan Y.A.M Tengku Putri Hjh.Arafiah binti Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al Haj. Saya adalah ahli seumur hidup PTNS sejak 2008.

Presiden PTNS adalah Puan Hjh.Mahanom bt. Hj.Basri. Seorang yang penyanyang dan bersifat keibuan, senang diajak berbicara. Di sebelah ini adalah gambar saya bersama beliau selepas majlis penyampaian Sijil Kursus Asas Asuhan Kanak-Kanak ke-6 tahun 2007.

Antara isi surat itu adalah usaha beliau untuk mempopularkan perkataan Pembimbing Awal Kanak-Kanak (PA Kanak-Kanak). Bunyinya kelakar tetapi saya setuju dengan usaha ini. Selama ini, kalau orang bertanya anda yang bekerja di TASKA; awak kerja apa?, mesti anda malu nak jawab; "Pengasuh". Bukan? .Sekarang, kalau anda ditanya soalan itu, anda bolehlah jawab "PA". Rasanya apa reaksi mereka?. Saya membayangkan mereka akan bertanya lagi; "PA kepada siapa?". Jadi, anda jawablah; "PA Kanak-Kanak". Wow!....... :0

10 February, 2009

DO'S AND DON'T

Di TASKA, ada beberapa perkara yang perlu diingat oleh Pengusaha TASKA dalam menyediakan senarai peraturan di premis mereka. Antaranya;
  1. Larangan memakai/membawa barangan berharga di TASKA.
  2. Pemakaian pakaian pijama sewaktu sampai di TASKA tidak dibenarkan. Kanak-kanak harus tiba di TASKA dengan pakaian yang bersih.
  3. Larangan kanak-kanak yang mengalami penyakit berjangkit berada di TASKA sehinggalah mendapat pengesahan dari pegawai perubatan bertauliah yang penyakitnya benar-benar telah pulih sepenuhnya.
  4. Larangan membawa keluar kanak-kanak dari TASKA diwaktu operasi TASKA oleh ibu bapa/penjaga tanpa kebenaran Penyelia/Pengusaha TASKA. Hanya ibu bapa/penjaga yang berdaftar sahaja dibenarkan. Jika ibu bapa/penjaga ingin meminta bantuan orang lain yang tidak berdaftar untuk mengambil kanak-kanak, kebenaran bertulis diperlukan.
  5. Larangan berada di sekitar TASKA sewaktu TASKA beroperasi. Ibu bapa tidak dibenarkan menggunakan bangunan TASKA selepas waktu operasinya.
  6. Ibu bapa perlu maklumkan kepada Penyelia/Pengusaha jika kanak-kanak tidak dapat hadir sebelum waktu tertentu.
  7. Ibu bapa/penjaga perlu memberi notis dalam jangkamasa tertentu jika mahu menamatkan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak.
  8. Larangan merokok dan meludah atau sesuatu perbuatan yang mengganggu ketenteraman dan kebersihan di sekitar TASKA.
  9. Ibu bapa/penjaga perlu tinggalkan pesanan penting secara bertulis seperti jenis serta dos ubatan kepada Penyelia/Pengusaha.
  10. Larangan memasuki kawasan dalam dan dapur TASKA tanpa kebenaran Penyelia/Pengusaha.
  11. Larangan penggunaan telefon bimbit di TASKA atau "disenyapkan".
  12. Penggunaan lampin pakai buang(jika perlu).
  13. Ibu bapa/penjaga membawa makanan dari luar TASKA. Nyatakan syarat yang perlu dipatuhi.
  14. Sumbangan/bayaran tambahan dari ibu bapa/penjaga jika perlu dan nyatakan untuk tujuan apa.
  15. Mengenai rekod kedatangan atau anda gunakan sistem "punch-card"(jika perlu).
  16. Ibu bapa/penjaga perlu maklumkan sebarangan perubahan maklumat peribadi, contohnya alamat dan nombor telefon atau status ibu bapa(bagi yang telah perpisah dan hak penjagaan).
  17. Rujukan maklumat mengenai yuran pendaftaran, caj bulanan, caj harian dan caj lebih masa.
Inilah antara perkara yang perlu anda ambilkira dalam senarai peraturan tersebut. Mungkin ada lagi tambahan yang anda fikirkan perlu dimasukkan dalam senarai di atas ?

07 February, 2009

BAYI DAN TIDUR

Bayi kebiasaannya memerlukan waktu tidur yang panjang berbanding kanak-kanak yang lebih berusia darinya iaitu sekitar 16 hingga 17 jam sehari (9 jam di waktu siang, 8 jam di waktu malam). Bayi belum dapat membezakan antara waktu tidur dan waktu jaga. Adalah menjadi tugas kita yang dewasa untuk mengatur waktu tidurnya. Bagi bayi yang ditinggalkan di TASKA, anda boleh lihat aturan masa (sekadar untuk panduan) seperti dibawah ini;

7 pagi-10 pagi : tidur
10 pagi - 11 pagi : mandi, tukar lampin,pakaian, makan/menyusu
11 pagi - 12 tengahari : bermain/bermesra dgn pengasuh
12 tengahari - 4 petang : tidur
4 petang - 5 petang : mandi, tukar lampin, pakaian, makan/menyusu
5 petang - 6 petang : bermain/bermesra dengan pengasuh
6 petang - 7 petang : tidur/menunggu ketibaan ibu bapa

Cuba anda hitung masa tidurnya, sekurang-kurangnya bayi mempunyai waktu yang cukup agar dia kelihatan riang setelah sedar dari lenanya di siang hari. Jadi, tiadalah ibu bapa yang akan "complain", "mengapa bayi saya selalu menangis?". Bak kata dalam iklan; anak riang, ibu pun senang!

Pastikan juga waktu tidurnya tidak diganggu dengan bunyi yang mengejutkannya seperti; deringan telefon, bunyi sudu jatuh, orang dewasa berbual dengan suara yang lantang(misalnya). Kalau boleh, anda bedungkan saja bayi kerana cara ini dapat mengelakkannya dari merasa terlalu terkejut hingga menggangkat tangannya yang menyebabkan bayi terus menangis. Dari pengalaman saya, bagi bayi yang tidak ditidurkan dalam buaian, cara membedungkannya adalah pilihan yang terbaik.

Paling perlu, periksa sentiasa lampinnya. Tukar secepat mungkin jika anda dapati lampinnya basah atau terdapat najis. Jangan biarkan lampin yang kotor terlalu lama dipunggung bayi bagi mengelakkan berlakunya situasi "melecet" di kulit bayi.

Sekali lagi, "ANAK RIANG, IBU PUN SENANG !"

03 February, 2009

PENJAGAAN KUKU

Saya telah kongsikan kepada anda mengenai kebersihan tangan. Kali ini saya ingin pula kongsikan mengenai penjagaan kuku, terutamanya bayi. Jika anda menerima bayi untuk jagaan anda, perkara pertama yang anda perlu perhatikan adalah bahagian kuku tangan dan kaki.

Ini adalah dibimbangi kuku jari tangan yang panjang dan tajam itu akan menyebabkan luka terutamanya dibahagian anggota muka bayi. Tambahan pula bayi masih belum dapat mengawal pergerakan ototnya sendiri. Jika di bahagian kaki, dibimbangi kuku kaki mencengkam bahagian tepi kulit bersebelahannya yang akan menyebabkan bayi merasa sakit atau kuku kaki menjadi seperti menaik keatas dan tidak berapa elok pada pandangan mata bahkan tidak bagus juga untuk pertumbuhan kukunya di masa akan datang.

Kebiasaannya, bagi ibu bapa yang tiada pengalaman atau takut untuk memendekkan kuku bayi mereka akan hanya menggunakan sarung tangan bayi sahaja sehinggalah bayi berusia beberapa bulan berikutnya. Ini tidak berapa baik untuk perkembangan pergerakan otot jarinya.

Saranan saya, pertama; pastikan posisi anda adalah betul. Cuba lakukannya sewaktu bayi berada didalam keadaan tidur. Pastikan anda melakukannya dengan perlahan-lahan supaya tidak mengejutkannya dari tidur yang lena.

Keduanya, boleh melakukannya bersama ahli keluarga atau orang dewasa yang lain. Misalnya, ibu memegang bahagian jari tangan/kaki sambil memotong bahagian kuku dan ayah tolong dengan cara bercakap/berbual dengan bayi atau buat bayi leka dengan perkara yang lain. Pastikan bayi tidak menangis waktu itu. Berhati-hati dengan pergerakan menolak/menarik oleh bayi.

Paling penting sekali, gunakan pemotong kuku yang khas untuk bayi dan tidak tumpul supaya memudahkan usaha anda.

01 February, 2009

CHECKLIST

Kepada mereka yang rajin singgah membaca catatan yang tak seberapa indah ini, tentu rasa macam "stress" pulak. So, kali ini saya ingin mengajak anda menjawab beberapa soalan untuk dijawab. Silalah menjawabnya; (ala-ala denda coz tak ramai nak buat komen/cadangan/bantahan/memeriahkan) catatan dalam blog ni.... ;)
  1. Jika anda boleh melakukan sesuatu kerja, apakah kerja itu?
  2. Apakah dia perkara yang bila anda lakukan, anda rasa seronok dan gembira hingga tidak sedar masa berlalu begitu saja?
  3. Apakah yang anda suka lakukan, walau tanpa menerima apa-apa habuan darinya?
  4. Apakah yang anda lakukan, yang akan pasti membuat anda rasa puas hati?
  5. Apakah yang anda lakukan, akan menghasilkan keputusan yang terbaik bagi diri anda?
  6. Sekiranya ada yang menjadi idola anda, siapakah dia?
  7. Apakah aktiviti yang anda rasakan mudah/"mesra"/sebati dengan diri anda tetapi susah untuk orang lain?
Ok, jawap jangan tak jawap.....