23 January, 2009

MONDAY BLUES

Hari ni tajuk lain macam sikit. :)

Nak tau kenapa? Kalau anda yang bekerja dipejabat, hari Isnin anda akan kata "Monday Blues", sebabnya Sabtu dan Ahad dah cuti, nak masuk kerja semula, rasa malaslah pulak. Kan? Kanak-kanak pun begitu, terutamanya yang ditinggalkan ibu bapa di TASKA.

Suasana di rumah lain, di TASKA juga lain. Satu atau dua hari bersama ibu bapa dirumah memang selesa. So, mulalah pengasuh pening kepala. Ada kanak-kanak yang ok, ada yang menangis tak mau masuk ke TASKA. Samalah macam kanak-kanak yang baru sehari ditinggalkan di TASKA. Jadi, sabarlah ye.

Bagi bayi yang biasa tidur dalam buaian dirumah, di TASKA kebanyakannya hanya tidur di atas tilam, mulalah meragam. Kalau anda yang tidak biasa dengan tangisan dan ragam bayi, harap belajarlah membiasakan diri dengan semua ini. Mudah saja. Anggaplah tangisan mereka bagaikan muzik yang sedap didengar, macam dengar lagu "ROCK". Bila dah penat, mereka akan cool down, pujuklah sikit. Oklah kan?

Ni, nak datang pula cuti Tahun Baru Cina - seminggu tu!. Minggu depan, "masak"lah para pengasuh kita. Sabar, sabar..

Bukan apa, kalau tak silap saya memang penggunaan buaian "tidak digalakkan", atau kalau boleh saya katakan "dilarang" sama sekali di TASKA. Ada saya di beritahu, kalau ibu bapa masih mahu anaknya ditidurkan dalam buaian, kena buat permintaan bertulis kepada pengusaha TASKA dan kena bawa buaian sendiri. Ish, ish...!. Cuba anda fikirkan, apakah rasionalnya larangan ini?

Apa pun, selamat bercuti bagi anda. Jumpa lagi....

21 January, 2009

TASKA DI RUMAH

Adakah anda pernah mendengar jenis perniagaan seperti ini? Taska Di Rumah bermaksud;.

Menerima masuk kurang dari 10 orang kanak-kanak berumur dibawah 4 tahun dengan upah.

Kalau tidak, ingin saya kongsikan disini beberapa maklumat bagi anda yang tidak pernah melibatkan diri dalam perniagaan taska. Menurut kajian yang dilakukan oleh ANGKASA, mengatakan;

Daripada program yang telah dijalankan, seramai 430 orang telah hadir dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 72 peratus telah memberi maklumbalas berminat untuk menyertai kursus dan menubuhkan TASKA di rumah.

Anda bayangkan betapa banyak ruang untuk anda isikan dalam perniagaan ini terutamanya bagi surirumah sepenuh masa dan juga ibu tunggal.

Kebiasaannya apabila anda menjalankan perniagaan dari rumah, anda jadi bingung apakah harga yang patut anda letakkan apabila ada permintaan untuk anda menjalankan Taska Di Rumah. Antaranya, anda perlu dapatkan maklumat tentang harga semasa yang dikenakan oleh kenalan anda yang menjalankan perniagaan yang sama dan caj yang dikenakan oleh taska berhampiran persekitaran anda. Dapatkan perbandingan harga dan buatlah keputusan yang bijak.

Sebelum itu, sekiranya berkesempatan ikutilah kursus yang berkaitan supaya perniagaan anda mempunyai hala tuju yang sebenar. Jangan malu untuk memulakan perniagaan ini dan jangan pula malu meletakkan harga. Anda berhak untuk meletakkan harga perkhidmatan yang anda berikan.

Untuk pengetahuan anda juga, perkhidmatan ini adalah di bawah pemantauan pihak JKM dan pihak berkuasa tempatan. Anda harus tahu apakah peraturan yang tersedia bagi perniagaan jenis ini. Ada sedikit perbezaan dengan lain-lain jenis taska. Sila klik disini untuk maklumat mengenai TASKA.

19 January, 2009

KREATIF

Kanak-kanak pada umumnya adalah kreatif. Kreativiti ini disalurkan melalui bermain yang merupakan media mereka meluahkan perasaan dan akhirnya mereka belajar dari permainan dan aktiviti itu. Ini memberikan mereka kepuasan dan keseronokan. Belajar dan bermain tidak semestinya menggunakan alat permainan berjenama dan dilihat menarik sahaja. Pelbagai cara dan perkara yang dilihat seolah-olah tidak memberi faedah, tetapi apabila didedahkan kepada kanak-kanak ini, dengan sendirinya kita akan dapat melihat hasilnya.

Antaranya adalah Pergerakan Kreatif. Pergerakan kreatif melibatkan penggunaan pergerakan anggota tubuh, irama dan daya kreativiti sebagai media kanak-kanak melahirkan perasaan. Matlamatnya adalah untuk kanak-kanak ini berkomunikasi melalui pergerakan dengan bimbingan daripada pengasuh.

Terdapat 4 elemen utama dalam pergerakan kreatif ini, iaitu tubuh badan, masa, daya dan ruang yang saling berkaitan yang melibatkan pergerakan lokomotor dan bukan pergerakan lokomotor sama ada dengan/tanpa muzik atau props.

Bukankah ini tidak melibatkan perbelanjaan yang besar dan tidak menjejaskan perbelanjaan di TASKA? Apa yang perlu anda pastikan adalah, anda sebagai pengasuh suka akan kanak-kanak dan mahu melihat mereka dalam keadaan gembira sewaktu dalam jagaan/asuhan anda.

07 January, 2009

ALAHAI ANAK !

Salam untuk semua pembaca. Kali ini saya nak mengajak anda berkongsi sedikit cerita mengenai anak-anak yang kedua ibu bapanya bekerja, mungkin anda tidak termasuk dalam kelompok ini, itu harapan saya.

Cubalah anda letakkan diri anda ditempat anak-anak ini. Mak, ayah bekerja dari awal pagi dah keluar rumah, balik pula lewat malam. Kalau salah seorang yang balik lewat, tak mengapalah juga. Bayangkan jika kedua ibu bapa yang begitu. Ok... , belum banyak mencatat saya dah mula sebak. Kesian, kan? Sebab apa saya katakan begitu? Ia adalah kerana anak-anak saya bertuah kerana saya sentiasa berada bersama mereka, dalam susah dan senang kami. Waktu saya bekerja di TASKA dulu, saya diberi peluang untuk berada bersama anak-anak dan menguruskan mereka sendiri disamping tugas-tugas harian di TASKA.

Terima kasih saya kepada pengusaha TASKA (Puan Zainon Abdullah) yang memberi peluang saya bekerja di TASKA beliau. Hampir dua tahun saya bekerja disitu. Selain tugas sebagai tukang masak, saya juga bertanggungjawab membantu memantau kanak-kanak di bahagian pusat jagaan beliau. Beliau menyewa rumah berkembar (maknanya dua buah premis/rumah, satu premis untuk TASKA dan satu lagi untuk Pusat Jagaan. Memang konsep seperti ini cukup sesuai dan memudahkan ibu bapa menghantar dan mengambil anak-anak mereka.

Berbalik kepada kisah anak tadi. Sudahkah anda letakkan diri anda ditempat mereka? Bolehkah anda rasakan perasaan mereka. Cubalah jangan anggap anak-anak ini tidak punya perasaan yang perlu dijaga. Lebih lagi anak-anak yang di TASKA. Melihat ibu bapa kawan-kawan mereka yang boleh datang mengambil mereka pulang pada waktunya, tentu mereka terdetik dihati rasa cemburu yang amat sangat. Kadangkala anak-anak boleh jadi terganggu kesihatan mereka kerana mentalnya tidak tenang. Dan anda sebagai ibu bapa sama ada sedar atau tidak, anak-anak ini memendam perasaan yang sangat dalam. Yang dibimbangkan jika anda tidak berusaha merubah cara hidup anda dari sekarang, anda jua yang akan menerima kesannya pada masa akan datang. Anak-anak adalah "aset" yang paling bernilai untuk kita. Merekalah yang akan menjadi bakal pemimpin akan datang, alahailah anak!.


05 January, 2009

AIR

Hari ini, anak-anak akan memulakan persekolahan masing-masing. Turut sibuk adalah ibu bapa seperti saya dan suami. Bagi yang baru mulai melangkah ke TASKA atau ke sekolah, tentu akan bertemu dengan suasana seperti catatan saya yang lalu. Percayalah....! TASKA dan sekolah terutamanya sekolah rendah tak banyak bezanya, lebih lagi bagi anak yang baru melangkah ke Tahun 1. Jadi, banyakkanlah bersabar.

Ok, saya ingin memberikan cadangan mengenai langkah-langkah yang perlu diambil terutamanya bagi Pengusaha TASKA bagi perniagaan TASKA mereka. Perkara yang paling perlu diambil berat adalah mengenai "AIR" yang mengalir masuk ke premis perniagaan anda. Air, kalau dalam bahasa Inggeris bermaksud "udara". Jadi elok jugalah kalau saya catatkan sekali mengenai "air dan udara" di TASKA.

Kenapa "air dan udara" ? Ia teramatlah penting di jaga di premis anda terutamanya yang menerima jumlah kanak-kanak yang ramai. Melalui air, pelbagai mikroorganisma dan logam yang terdapat didalamnya yang kadangkala tidak mampu ditapis sebersih-bersihnya oleh pihak yang berwajib. Kalau pun mereka katakan bahawa air yang masuk kedalam saluran kepremis anda adalah bersih, masih boleh diragukan jua sewaktu proses penyalurannya sebelum sampai ke saluran premis anda. Untuk itu saya cadangkan untuk anda menyediakan penapis air yang boleh menapis terutamanya logam berat yang terkandung didalam air sebelum ianya memasuki tangki air atau sinki dapur dipremis anda. Untuk pengetahuan anda, pelbagai versi "water filter" yang terdapat di pasaran sekarang. Jaminannya atau "warranty" juga agak lama, lebih dari 5 tahun pun ada. Jadi berbaloilah juga dengan harganya.

Air yang bersih juga penting bagi ketahanan diri seseorang kanak-kanak. Organ dalaman mereka seperti buah pinggang janganlah dibebankan dengan bahan-bahan toksid yang berat. Apabila organ ini terpaksa bekerja kuat, maka terjadilah ketidakseimbangan dalam tubuh kanak-kanak. Ini memungkinkan mereka untuk mendapat pelbagai penyakit yang berulang seperti demam dan sebagainya. Untuk maklumat tambahan sila klik di sini.

Begitu juga dengan udara di dalam dan di luar TASKA anda. Pastikan ada pengaliran keluar dan masuk udara yang baik. Pada awal pagi, pastikan kanak-kanak ini menerima udara segar. Buka tingkap buat sementara di awal pagi dan bolehlah memasang pendingin udara bila menjelang tengahhari, dan buka kembali tingkap di waktu sebelah petangnya sebelum kanak-kanak pulang. Bagi saya ini adalah perlu dilakukan. Jumlah kanak-kanak yang terdapat di TASKA anda pastinya ramai, dan mereka ini memerlukan udara yang bersih dan segar untuk proses pernafasan yang baik.

Apabila mereka mendapat udara yang segar, maka paru-paru kanak-kanak dapat berfungsi dengan baik dan sempurna. InsyaAllah, masalah demam, selsema dan batuk dapat dihindari ditambah dengan pengambilan bendalir (air) yang bersih. Diharap ini akan dapat membantu anda dalam menjalankan tanggungjawab mengasuh dan mendidik kanak-kanak terutamanya di TASKA dengan sempurna. Masalah penyakit berulang ini perlu ditangani diperingkat awal supaya TASKA tidak lagi dilihat sebagai tempat menyebarkan penyakit-penyakit tersebut.

03 January, 2009

TAHUN BARU 2009

Assalamualaikum & salam sejahtera kepada anda yang sudi membaca catatan saya sepanjang tahun 2008. Kita bertemu pula dengan Tahun Hijrah 1430 dan Tahun Masihi 2009. Maaf kerana sudah beberapa hari saya tidak membuat catatan diblog ini. Agak sibuk dengan cuti sekolah dan cuba memberi masa dan kesempatan untuk bersama keluarga tersayang.

Apapun azam anda, harap ianya adalah untuk kebaikan dunia dan akhirat. Segala niat yang baik, InsyaAllah akan dibalas dengan kebaikan jua. Amin.

Kali ini saya ingin berkongsi mengenai perkembangan terbaru saya bagi tahun 2009. Jangan terperanjat, mungkin anda sangkakan saya akan mengumumkan mengenai pembukaan TASKA yang saya impikan sebelum ni. Tapi, saya mulakan TASKA diRUMAH dulu. Taska jugalah kan? Apa salahnya. Anda juga boleh berbuat demikian. Apa yang pe nting anda tahu apa yang anda buat, dan apa yang perlu anda lakukan. Kita mempunyai pilihan. Pilihan terletak ditangan Anda!

Mengapa saya mulakan TASKA diRUMAH? Terdesak sangat ke saya? Oh, tidak. Saya harus berbuat sesuatu untuk mengembangkan "passion" terhadap dunia kanak-kanak selain melayan anak sendiri. Sementelah pula terdapat "permintaan", maka saya memenuhi permintaan itu dulu. "Start small" concept!