29 April, 2009

TEKNIK BERCERITA UNTUK KANAK-KANAK
















Gambar di atas adalah contoh bagi Panel Teater untuk teknik bercerita ini.

Pada 25/4/09 yang lalu, saya telah selesai menyertai Bengkel Teknik Bercerita anjuran Perpustakaan Negara Malaysia yang dikendalikan oleh Puan Sakae Sasamori. Tentu anda pernah mendengar dan mengetahuinya melalui media massa dan media cetak sejak kebelakangan ini. Jadi, saya bawakan sedikit gambaran mengenai teknik bercerita yang dibawakan oleh beliau untuk tatapan anda. Tentu masih ada kesilapan yang tanpa saya sedari dan saya bukanlah pakar, tapi bagus untuk kita belajar bersama ya. Sila tonton tayangan video berikut perkongsian pengalaman secara tidak langsung.

Sebarang cadangan dan pandangan dari anda amat saya hargai. Terima kasih.





23 April, 2009

KEBOLEHAN KANAK-KANAK DI USIA 6 - 7 BULAN

Sila perhatikan dan galakkan kebolehan kanak-kanak di usia ini seperti berikut;
  1. Boleh duduk dengan sokongan dibelakang, beri peluang untuknya bersandar kepada orang yang lebih dewasa atau bantal.
  2. Menangis, menjerit dan menunjukkan perasaan tidak suka dengan orang yang tidak biasa dengannya atau apabila permainan kesukaannya diambil. Di usia ini anda boleh membiasakan dengan lebih banyak pilihan permainan yang bersih dan mudah dicuci untuknya. Permainan ini berperanan untuk menggalakkannya untuk merasa, menggenggam, memicit dan menyusun.
  3. Gemar mencapai dan mengambil serta memasukkan sebarang objek ke mulut. Pastikan tiada objek yang kecil dan mudah masuk kedalam rongga seperti di hidung, telinga atau ditelan yang akan membuatnya tercekik.
  4. Mulai pandai mengeluarkan bahasa yang lebih berbeza dari bahasa yang lebih matang tetapi lebih terkawal. Anda perlu berikan perhatian dengan bercakap dengannya diparas mata. Bawanya ke taman bunga misalnya dan tunjukkan pokok, batu dan sebut dengan jelas supaya dia dapat meniru bahasa anda kelak. Tunjukkan juga buku bergambar untuknya.
  5. Boleh mula dilatih menyebut patah perkataan yang mudah seperti "pa" dan "ma".
Rangsanglah kanak-kanak ini dengan baik. Mudah-mudahan mereka akan lebih mudah dididik dan diasuh pada usia seterusnya.


TASKA – Nota Dunia Kanak-Kanak,

19 April, 2009

CERITA DAN NYANYIAN UNTUK KANAK-KANAK

Cerita dan nyanyian adalah antara cara untuk berinteraksi dan menyampaikan mesej selain sebagai hiburan kepada kanak-kanak. Sama ada berkesan atau tidak cara ini bergantung kepada kemahuan dan kesediaan kanak-kanak itu sendiri. Kadang kala ianya tidak semestinya dirancang. Adalah lebih baik jika ianya dirancang dengan beberapa teknik bercerita dan sekaligus diselitkan dengan nyanyian yang berkaitan dengan cerita atau watak dalam cerita yang disampaikan.

Anda perlu mengetahui faedah cerita dan nyanyian kepada kanak-kanak. Antaranya adalah;
  1. Ianya boleh memberi pengetahuan, keseronokan dan pemahaman mengenai sesuatu.
  2. Memberi peluang kanak-kanak meluahkan perasaan takut, gembira, sedih. Kanak-kanak juga boleh memahami akan peranan yang baik dan sebaliknya.
  3. Selepas sessi bercerita dan nyanyian, kanak-kanak berupaya meningkatkan imaginasinya, akan bertanya, mendedahkan dan menyelesaikan sesuatu masalah. Mereka akan berpeluang mengetahui/membezakan antara yang nyata dan palsu.
  4. Aktiviti ini juga boleh membantu meningkatkan perbendaharaan kata kanak-kanak.
  5. Mendidik kanak-kanak mengenai nilai-nilai murni seperti menghormati budaya kita, menghormati orang tua dan sebagainya.
Untuk memilih cerita yang baik, beberapa perkara berikut perlu diambil kira, seperti berikut;
  1. Maksud cerita hendaklah jelas, mudah difahami oleh kanak-kanak.
  2. Jalan cerita (plot) yang mudah serta sesuai. Mempunyai permulaan, kemuncak dan penutup yang baik. Elak dari menggunakan banyak watak.
  3. Lama masa bercerita hendaklah sesuai dengan peringkat usia kerana penumpuan kanak-kanak terhadap sesuatu perkara adalah tidak berkekalan. Ia seharusnya pendek dan mudah.
  4. Sebaiknya cerita dibantu dengan alat pandang dengar, perkataan, perbualan, lakunan serta kejadian yang menyeronokkan bagi kanak-kanak.


TASKA – Nota Dunia Kanak-Kanak,

13 April, 2009

KEBOLEHAN DI USIA 4-5 BULAN




















Pada kebiasaannya apabila bayi mencapai usia 4-5 bulan, anda boleh memerhatikan dan menggalakkan beberapa perkara seperti berikut;
  1. Bayi mengenal dirinya didalam cermin. Anda boleh membiasakan dirinya berada dihadapan cermin dan mulakan percakapan dengannya menggunakan bahasa yang jelas dan betul.
  2. Berupaya senyum/ketawa apabila melihat kita bercakap panjang, berikannya dakapan/belaian yang mesra kerana diusia ini, kanak-kanak mula meminta perhatian.
  3. Mampu untuk berpusing/berbaring dengan sendiri.
  4. Berupaya melihat objek dengan lebih jelas dan merenungnya. Anda boleh mula menunjukkan gambar objek seperti gambar orang dan binatang yang berwarna-warni.
  5. Gemar mencapai apa saja objek yang boleh dicapai, anda boleh letakkan permainan yang lembut dan berwarna terang dengan jarak yang jauh sedikit darinya sekaligus menggalakkannya untuk meniarap dan bergerak kehadapan.
  6. Boleh dipegang kedua tangannya dan dengan perlahan ditarik dari keadaan berbaring kepada duduk.
  7. Diusia ini anda boleh mula bertanya doktor mengenai makanan-makanan tambahan untuk bayi.

TASKA – Nota Dunia Kanak-Kanak,



12 April, 2009

PERNIAGAAN SENDIRI

Dalam perniagaan, pasti ada risiko. Ada untung dan adakala rugi. Begitu juga dalam perniagaan TASKA. Memiliki perniagaan sendiri akan memberi kepuasan kepada anda. Dikenali dalam masyarakat sebagai "usahawan", usahawan TASKA atau "boss". Tiada yang akan memecat anda, dibandingkan dengan bekerja dibawah arahan majikan. Anda juga memiliki kebebasan menjana idea dan melaksanakannya, dan mampu meraih keuntungan dalam jangka panjang sekiranya anda berjaya.

Walau bagaimana pun, terdapat risiko besar yang terlibat sama. Misalnya dalam usaha membina perniagaan, banyak masa dihabiskan, lebih banyak memerah idea kerana keseluruhan tanggungjawab membuat keputusan terletak dibahu anda.

Pendapatan yang kadangkala tidak menentu, pembayaran lambat diterima dengan pelbagai alasan. Inilah masanya perniagaan anda tidak memberi pulangan yang cukup untuk beroperasi dan untuk anda sendiri meneruskan usaha. Satu masalah paling biasa dalam perniagaan ini adalah, pendapatan mungkin tidak sebegitu besar terutamanya pada permulaan kerana banyak perbelanjaan yang diperlukan. Contohnya, menyediakan peralatan dan perabut dalam dan luar TASKA.

Tanggungjawab juga bertambah. Selain tanggungjawab terhadap diri sendiri dan keluarga, anda juga bertanggungjawab terhadap pekerja iaitu Pengasuh/Pembimbing Awal, kanak-kanak di bawah jagaan serta ibu bapa kanak-kanak tersebut. Berbagai karenah yang akan anda temui. Setiap seorang tidak sama karenahnya. Lebih ramai yang dibawah tanggungjawab, maka lebih ramailah "boss" anda. Mereka boleh membuat keputusan berhenti dari mendapat/memberi perkhidmatan dari/kepada perniagaan anda dan pergi kepada pesaing anda. Banyak pilihan yang mereka ada. Begitulah indahnya makhluk ciptaan-Nya.

Selain itu, ada beberapa keperluan yang terlibat dalam perniagaan anda seperti yang melibatkan kebajikan kanak-kanak, pekerja, insuran, pelesenan, keselamatan, kesihatan, majlis tempatan, cukai/zakat dan macam-macam lagi perkara yang anda sendiri akan temui. Seolah-olah menakutkan anda? Maafkan saya, tetapi InsyaAllah anda akan berjaya jika anda mematuhi segala keperluan ini.


TASKA - Nota Dunia Kanak-Kanak,



10 April, 2009

PERNIAGAAN TASKA

Hari ini saya terpanggil untuk membincangkan mengenai "perniagaan" terutamanya perniagaan TASKA kerana kebanyakan email/pertanyaan yang diajukan kepada saya lebih menjurus kepada apa? , bagaimana? mengapa? dan lain-lain lagi. Contohnya;
  1. Apa yang perlu ada bagi seseorang yang ingin membina perniagaan,
  2. Bagaimana untuk memulakan perniagaan,
  3. Mengapa perniagaan tidak berjaya
Ramai yang berminat untuk memulakan perniagaan TASKA sendiri. Dalam fikiran kebanyakannya menganggap bahawa tugas mengasuh adalah mudah. Semudah mengasuh anak sendiri. Anda silap..!

Perkara yang paling utama adalah anda perlu mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan perkataan "perniagaan' itu sendiri. Perniagaan adalah aktiviti yang akan memberikan pulangan/keuntungan daripada hasil penjualan produk atau perkhidmatan. Perniagaan TASKA boleh di klasifikasikan sebagai perniagaan perkhidmatan kerana anda memberi khidmat kepada kanak-kanak sebagai ibu bapa gantian sementara ibu bapa mereka keluar bekerja.

Dalam apa jua jenis perniagaan, antara perkara paling penting adalah anda sebagai bakal peniaga/usahawan perlu memiliki sifat seperti ;
  1. Minat
  2. Ilmu
  3. Komited
  4. Disiplin
  5. Kreatif
Bukan mudah. Bak kata orang-orang lama, "bukan senang nak senang". :)

08 April, 2009

BLOG SENARAI TASKA DI MALAYSIA

Ingin saya umumkan, bahawa saya telah mewujudkan satu lagi blog khusus untuk anda yang memiliki perniagaan TASKA @ ChildCare Centre @ Nursery terutamanya dari seluruh Malaysia. Tidak kira sama ada TASKA dari Semenanjung Malaysia mahu pun Sabah dan Sarawak termasuk Brunei.

Sekiranya anda berminat untuk menyertai senarai TASKA di laman blog tersebut, anda boleh menghantar maklumat kepada saya melalui email berikut ; sapiahhussien@gmail.com

Antara maklumat yang diperlukan adalah;
  1. Gambar TASKA/Logo TASKA,
  2. Nama TASKA,
  3. Alamat TASKA,
  4. Nama Pengusaha/siapa yang boleh dihubungi. Boleh juga sertakan gambar anda,
  5. Cara hubungi (email / telefon / fax),
  6. Jika anda mempunyai blog / laman web khas untuk perniagaan TASKA anda, sila sertakan URL blog / laman web
Sukacita saya maklumkan bahawa perkhidmatan ini adalah "percuma", khas untuk Pengusaha TASKA dari seluruh Malaysia yang tercinta ini. Jadi, jangan lengah lagi. Promosikan perniagaan TASKA dengan menghantarkan segala maklumat yang perlu ke alamat email sapiahhussien@gmail.com.

SILA KLIK DISINI UNTUK MELIHAT CONTOH PAPARAN DI BLOG TASKA MALAYSIA

07 April, 2009

KEBOLEHAN DI USIA 2-3 BULAN














Di usia antara 2-3 bulan, anda boleh perhatikan antara kebolehan berikut;
  1. Boleh menggolekkan kepala dan badan sama ada ke kiri atau ke kanan.
  2. Memegang objek dalam masa yang singkat.
  3. Mengangkat kepala dan dada untuk beberapa saat dengan menampung berat di atas siku dan tangan.
  4. Menoleh kearah bunyi.
  5. Gemar memandang objek berwarna-warni.
  6. Mengenali muka dan suara orang yang biasa ada hampir dengannya.
  7. Mengeluarkan bahasa/bunyi suara yang tidak difahami orang lain.
Antara yang boleh anda lakukan;
  1. Gantungkan objek yang berwarna terang dikiri atau dikanan bayi.
  2. Berikan sedikit bantuan untuk bayi memusingkan badannya untuk meniarap.
  3. Bercakap dengan lembut dan berikan senyuman kepadanya.
  4. Renyok atau koyakkan kertas untuk mengeluarkan bunyi.
  5. Mainkan muzik yang merdu.
  6. Berikan mainan lembut yang bersesuaian saiznya, boleh dipegang dan dipicit serta boleh menghasilkan bunyi.
Anda pasti akan dapat melatih bayi untuk belajar meniarap seawal usia ini seperti gambar yang saya sertakan di bawah.

02 April, 2009

FUNGSI RANGSANGAN UNTUK KANAK-KANAK

Dalam didikan dan asuhan awal kanak-kanak, Pembimbing Awal perlu mengetahui mengenai perkembangan serta fungsi otak manusia supaya mereka boleh mengenalpasti potensi setiap kanak-kanak di bawah jagaannya dan menyedari mengapa pentingnya rangsangan diberi terhadap mereka dari seawal usianya.

Berdasarkan kajian; pada saat kelahiran bayi, berat otaknya adalah 350 gram atau 25% berat otak dewasa. Bermakna kadar berat otak orang dewasa adalah dalam lingkungan 1.4 kg. Pada usia menjangkau 1 1/2 tahun, otak kanak-kanak mencapai 50% berat otak orang dewasa. Kemudian beratnya akan mencapai 85%-90% otak orang dewasa pada akhir usia 6 tahun.

Apabila usianya mencapai 3 tahun, rangsangan perlu diberikan dengan lebih lagi kerana waktu ini otak kanak-kanak mempunyai kuadrillion(1000 trilion) sinaps, iaitu dua kali ganda sinaps orang dewasa. Sinaps adalah "jaringan" yang menghubungkan saraf-saraf di otak. Neuron(sel saraf) yang dirangsang melalui input dari persekitaran sekeliling akan membentuk sinaps baru serta fungsinya yang baru. Neuron yang tidak dirangsang pula akan mati dan dicantas(terputus).

Otak mengawal segala fungsi manusia. Potensi yang tidak terbentuk pada awal kanak-kanak tidak akan wujud secara tiba-tiba pada usia remaja atau dewasa dan akan hilang sekiranya ia tidak digilap. Wallahua'lam.