23 March, 2009

TIPS MENDISIPLINKAN KANAK-KANAK

Disiplin secara umumnya bermaksud " peraturan yang ditetapkan untuk melatih seseorang supaya berkelakuan baik". Namun, maksud peraturan yang digunakan disini adalah bersifat agak tegas dan 'mesti'.

Malangnya, bagi kanak-kanak yang sedang melalui proses pembesaran, mereka tidak mahu terkongkong dengan perkataan 'jangan'. Perkataan ini seolah-olah memberikan tanda tanya dan akan menyemarakkan lagi rasa ingin tahu mereka. Bagi Pembimbing Awal yang mahir, penggunaan perkataan 'jangan' akan disertai dengan sebab dan alasan yang kukuh supaya kanak-kanak dapat memahami dengan mudah.

Mendisiplinkan kanak-kanak adalah tanggungjawab besar ibu bapa, bermula dari usia awal kelahirannya. Ianya penting untuk membentuk perkembangan mental dan emosi yang seimbang. Pada peringkat 1 - 7 tahun, kanak-kanak menjadikan ibu bapa, kakak, abang serta orang dewasa yang paling hampir dengannya sebagai contoh dalam kebanyakan situasi. Oleh sebab itu, orang dewasa jika di TASKA adalah Pembimbing Awal bertanggungjawab menunjukkan nilai yang baik kepada kanak-kanak. Jika dirumah, ibu bapa dan mereka yang lebih dewasa mempunyai tanggungjawab yang sama seperti Pembimbing Awal ini. Supaya kanak-kanak tidak terkeliru, kedua pihak ibu bapa dan Pembimbing Awal ini perlu mempunyai komunikasi yang baik serta berbincang mengenai perkembangan disiplin kanak-kanak ini.

Pada umur 3 tahun keatas, kebiasaannya kanak-kanak akan menunjukkan sikap tidak mahu terlalu bergantung kepada orang dewasa. Ini menandakan mereka sudah membina identiti sendiri dan berasa lebih selamat, tetapi tidak bermakna kanak-kanak menjadi seorang pemberontak. Menunjukkan sifat degil adalah cara bagi kanak-kanak menunjukkan ketegasannya. Apabila dia menolak untuk bekerjasama, dia sebenarnya sedang cuba memberitahu "Saya tidak suka peraturan ini".

Jadi, apakah yang perlu dilakukan (berusahalah, walaupun kadangkala bukan semudah itu);

  1. Fahami. Cuba letakkan diri anda ditempatnya. Contohnya jika anda mahu dia makan pada waktunya. Jika dia sedang seronok bermain, hampirinya, peluk dan beritahu mengapa dia perlu makan. Secara psikologinya anda memberitahu bahawa anda mengambil berat dan ingin tahu mengapa dia tidak mahu makan. Jangan memarahinya tetapi pastikan dia makan apa yang sepatutnya.
  2. Tetapkan had. Setiap yang dilakukan ada batasan atau hadnya. Lebih-lebih lagi jika di TASKA. Contohnya, jika sudah sampai waktu tidur/rehat, beritahu dia perlu ambil waktu itu untuk merehatkan badan setelah melakukan aktiviti yang lainnya supaya dia dapat meneruskan aktiviti yang lainnya pada sebelah petang misalnya. Sebelum tidur, galakkan dia membersihkan diri serta menukar pakaian. Jika dia masih tidak mahu tidur, galakkan dia berbaring dahulu, ajarkannya membaca doa tidur, pastikan cahaya yang masuk kebilik tidak terlalu terang, tiada bunyi yang boleh menganggunya. InsyaAllah, dari pengalaman saya sendiri ianya berjaya.
  3. Beri perhatian. Selain dari memberi perhatian kepadanya ketika dia nakal atau degil, anda juga perlu dekatinya ketika dia dalam situasi 'angin baik'. Beritahu apa yang betul dan tidak betul. Kebiasaannya apabila anak melakukan kesalahan, dia akan rasa bersalah. Jadi, anda tidak perlu cepat mengamuk, sebaliknya cakap secara baik dan jelaskan mengapa anda marah kepadanya.
  4. Mendisiplin bukan bermakna mengawalnya. Mendisiplin bermaksud mengajar kanak-kanak mengawal dirinya sendiri. Hukuman mungkin boleh mendisiplinkannya, tetapi kadangkala tidak memberi kesan kepada kanak-kanak. Jika rasa marah anda membuak, jauhi diri darinya dan apabila anda tenang semula, beritahu dia apa yang patut dan tidak patut dia lakukan.
  5. Beri peluang memilih. Kanak-kanak memerlukan ruang untuk membuat pilihan sendiri. Jadi,berilah mereka peluang. Mulakan dengan yang mudah, misalnya beri dia peluang membuat pilihan pakaian yang disukainya. Sekali lagi beritahunya apa yang boleh dan tidak boleh atau yang sesuai dan tidak sesuai untuknya.
Tips di atas bukanlah satu jaminan untuk kanak-kanak tidak lagi bersikap degil, tetapi dengan kesabaran anda, kanak-kanak sebenarnya secara perlahan akan belajar bahawa berdegil bukan cara terbaik untuk mendapatkan apa yang dia mahukan.

No comments:

Post a Comment