03 February, 2009

PENJAGAAN KUKU

Saya telah kongsikan kepada anda mengenai kebersihan tangan. Kali ini saya ingin pula kongsikan mengenai penjagaan kuku, terutamanya bayi. Jika anda menerima bayi untuk jagaan anda, perkara pertama yang anda perlu perhatikan adalah bahagian kuku tangan dan kaki.

Ini adalah dibimbangi kuku jari tangan yang panjang dan tajam itu akan menyebabkan luka terutamanya dibahagian anggota muka bayi. Tambahan pula bayi masih belum dapat mengawal pergerakan ototnya sendiri. Jika di bahagian kaki, dibimbangi kuku kaki mencengkam bahagian tepi kulit bersebelahannya yang akan menyebabkan bayi merasa sakit atau kuku kaki menjadi seperti menaik keatas dan tidak berapa elok pada pandangan mata bahkan tidak bagus juga untuk pertumbuhan kukunya di masa akan datang.

Kebiasaannya, bagi ibu bapa yang tiada pengalaman atau takut untuk memendekkan kuku bayi mereka akan hanya menggunakan sarung tangan bayi sahaja sehinggalah bayi berusia beberapa bulan berikutnya. Ini tidak berapa baik untuk perkembangan pergerakan otot jarinya.

Saranan saya, pertama; pastikan posisi anda adalah betul. Cuba lakukannya sewaktu bayi berada didalam keadaan tidur. Pastikan anda melakukannya dengan perlahan-lahan supaya tidak mengejutkannya dari tidur yang lena.

Keduanya, boleh melakukannya bersama ahli keluarga atau orang dewasa yang lain. Misalnya, ibu memegang bahagian jari tangan/kaki sambil memotong bahagian kuku dan ayah tolong dengan cara bercakap/berbual dengan bayi atau buat bayi leka dengan perkara yang lain. Pastikan bayi tidak menangis waktu itu. Berhati-hati dengan pergerakan menolak/menarik oleh bayi.

Paling penting sekali, gunakan pemotong kuku yang khas untuk bayi dan tidak tumpul supaya memudahkan usaha anda.

No comments:

Post a Comment