05 January, 2009

AIR

Hari ini, anak-anak akan memulakan persekolahan masing-masing. Turut sibuk adalah ibu bapa seperti saya dan suami. Bagi yang baru mulai melangkah ke TASKA atau ke sekolah, tentu akan bertemu dengan suasana seperti catatan saya yang lalu. Percayalah....! TASKA dan sekolah terutamanya sekolah rendah tak banyak bezanya, lebih lagi bagi anak yang baru melangkah ke Tahun 1. Jadi, banyakkanlah bersabar.

Ok, saya ingin memberikan cadangan mengenai langkah-langkah yang perlu diambil terutamanya bagi Pengusaha TASKA bagi perniagaan TASKA mereka. Perkara yang paling perlu diambil berat adalah mengenai "AIR" yang mengalir masuk ke premis perniagaan anda. Air, kalau dalam bahasa Inggeris bermaksud "udara". Jadi elok jugalah kalau saya catatkan sekali mengenai "air dan udara" di TASKA.

Kenapa "air dan udara" ? Ia teramatlah penting di jaga di premis anda terutamanya yang menerima jumlah kanak-kanak yang ramai. Melalui air, pelbagai mikroorganisma dan logam yang terdapat didalamnya yang kadangkala tidak mampu ditapis sebersih-bersihnya oleh pihak yang berwajib. Kalau pun mereka katakan bahawa air yang masuk kedalam saluran kepremis anda adalah bersih, masih boleh diragukan jua sewaktu proses penyalurannya sebelum sampai ke saluran premis anda. Untuk itu saya cadangkan untuk anda menyediakan penapis air yang boleh menapis terutamanya logam berat yang terkandung didalam air sebelum ianya memasuki tangki air atau sinki dapur dipremis anda. Untuk pengetahuan anda, pelbagai versi "water filter" yang terdapat di pasaran sekarang. Jaminannya atau "warranty" juga agak lama, lebih dari 5 tahun pun ada. Jadi berbaloilah juga dengan harganya.

Air yang bersih juga penting bagi ketahanan diri seseorang kanak-kanak. Organ dalaman mereka seperti buah pinggang janganlah dibebankan dengan bahan-bahan toksid yang berat. Apabila organ ini terpaksa bekerja kuat, maka terjadilah ketidakseimbangan dalam tubuh kanak-kanak. Ini memungkinkan mereka untuk mendapat pelbagai penyakit yang berulang seperti demam dan sebagainya. Untuk maklumat tambahan sila klik di sini.

Begitu juga dengan udara di dalam dan di luar TASKA anda. Pastikan ada pengaliran keluar dan masuk udara yang baik. Pada awal pagi, pastikan kanak-kanak ini menerima udara segar. Buka tingkap buat sementara di awal pagi dan bolehlah memasang pendingin udara bila menjelang tengahhari, dan buka kembali tingkap di waktu sebelah petangnya sebelum kanak-kanak pulang. Bagi saya ini adalah perlu dilakukan. Jumlah kanak-kanak yang terdapat di TASKA anda pastinya ramai, dan mereka ini memerlukan udara yang bersih dan segar untuk proses pernafasan yang baik.

Apabila mereka mendapat udara yang segar, maka paru-paru kanak-kanak dapat berfungsi dengan baik dan sempurna. InsyaAllah, masalah demam, selsema dan batuk dapat dihindari ditambah dengan pengambilan bendalir (air) yang bersih. Diharap ini akan dapat membantu anda dalam menjalankan tanggungjawab mengasuh dan mendidik kanak-kanak terutamanya di TASKA dengan sempurna. Masalah penyakit berulang ini perlu ditangani diperingkat awal supaya TASKA tidak lagi dilihat sebagai tempat menyebarkan penyakit-penyakit tersebut.

No comments:

Post a Comment