22 December, 2008

APABILA 1+1 =2

Teruskan bacaan anda dibawah tajuk ini.

Memanglah 1+1 = 2. Ada yang kata 1+1, takkan dapat jawapan 2(pelik tapi benar). Disini saya bukanlah mahu menerangkan kepada anda formula yang kedua, tapi saya akan terangkan formula yang pertama dari sudut pandangan saya sendiri. Mungkin anda ada pandangan yang berbeza. Terpulanglah, tepuk dada, tanya diri sendiri. :)

Di sini, yang saya maksudkan adalah apabila anda ibu bapa/pengasuh mendapat anak yang kedua dibawah asuhan/jagaan anda. Adalah menjadi tanggungjawab setiap dari kita yang dewasa untuk bersedia segala kemungkinan yang akan berlaku apabila anda mula mendapat seorang lagi anak. Pada permulaan sebelum kehadiran anak kedua, kebanyakkan anak pertama akan rasa teruja. Iyelah, dapat kawan barulah katakan. Tiba-tiba, sebaik saja yang sulung menerima kehadiran yang kedua, maka akan berlaku konflik dalamannya. Sama ada positif atau negatif, kadangkala kita sendiri tak sedar.

Jika anda menghantar anak-anak ini ke TASKA, yang sulung akan dipisahkan tempat masing-masing. Ada hikmahnya, kerana bayi mempunyai antibodi yang agak lemah dan mudah dijangkiti penyakit jika bersama kanak-kanak yang lebih dewasa darinya. Sebagai ibu bapa, anda harus faham dengan peraturan yang dinyatakan oleh pihak pentadbir TASKA.

Yang menjadi masalah adalah apabila ibu bapa sendiri menggalakkan anak yang lebih dewasa untuk berada bersama bayi mereka di tempat yang sama. Apabila ini dibenarkan, pelbagai perkara harus di ambil kira. Antaranya, anda mungkin hanya akan lebih memudahkan pengasuh dalam urusan mereka. Ini kerana kadang kala anak sulung lebih teruja untuk melakukan tugas yang sepatutnya dilakukan oleh pengasuh. Sebagai contoh, memberi susu kepada bayi, menukarkan lampin bayi, mendukung bayi dan jangan terperanjat kadangkala sehingga memandikan bayi anda! Jika ini berlaku, bayangkanlah bagaimana perasaan pengasuh yang anda amanahkan untuk menjaga bayi tersebut. Mungkin anda kata "sukalah dia, ada pembantu!". Sebenarnya anda seolah-olah sudah ada ketidakpercayaan dalam diri terhadap pengasuh atau TASKA tersebut.

Mungkin juga, secara kebetulan ketika yang sulung sedang menyusukan atau mendukung atau menukarkan lampin, datang orang lain/ibu bapa bayi yang lain di TASKA itu. Anda pasti tahu apa yang bermain dalam fikiran mereka?

18 December, 2008

MENGENAI ASUHAN & DIDIKAN KANAK-KANAK

Pengertian kanak-kanak mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 bermaksud "seseorang yang berumur di bawah 18 tahun. Terdapat pelbagai amalan asuhan kanak-kanak yang di bawa dari barat seperti oleh Froebel, Dr.Maria Montessori, Glen Doman dan ramai lagi. Tak kurang juga amalan asuhan sentuhan Islam yang murni dipaparkan melalui sejarah hidup junjungan besar kita Muhammad s.a.w dan para sahabat baginda serta cendikiawan Islam tersohor didunia.

Froebel percaya kanak-kanak belajar dari persekitarannya dan pembentukan peribadi dipengaruhi oleh cara kanak-kanak bermain. Alat-alat permainan yang digunakan oleh kanak-kanak perlu dipilih dengan teliti bagi tujuan untuk menyokong perkembangan kanak-kanak.

Dr.Maria Montessori percaya bahawa perkembangan seseorang kanak-kanak khususnya apabila kanak-kanak diberi peluang menyentuh, mencuba dan menggunakan peralatan khas dan persekitarannya yang disediakan secara tersusun.

Glen Doman percaya bahawa perkembangan atau potensi intelek seseorang kanak-kanak kurang upaya (segi mental) dapat dirangsang dengan penggunaan pelbagai "flash card". Dengan cara ini, kanak-kanak dapat didedahkan kepada perkataan dan ide sebelum ia mencapai tahap mengenal, memahami atau menerap makna sesuatu konsep.

Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia menggalakkan amalan asuhan kanak-kanak yang memberi tumpuan kepada perkembangan menyeluruh seseorang kanak-kanak yang merangkumi perkembangan fizikal, sosio-emosi, kognitif dan bahasa. Ianya memberi tumpuan kepada tahap kebolehan dan kesediaan seseorang kanak-kanak melalui persekitaran dan aktiviti yang dirancang.

Dalam Islam, kita biasa mendengar dalil yang ditegaskan oleh Nabi s.a.w, ialah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari daripada Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya ; "Setiap anak dilahirkan atas fitrah, maka kedua-dua ibu bapanyalah yang meyahudikannya, atau menasranikannya, atau memajusikannya."

Jadi, tugas memilih cara asuhan dan didikan kanak-kanak adalah paling utama terletak diatas bahu ibu bapa yang melahirkan mereka didunia ini. Kepada anda yang bakal bergelar ibu dan bapa, juga pendidik yang bakal mendidik anak-anak bangsa anda boleh dapatkan buku berjudul "Pendidikan Anak-Anak Dalam Islam" melalui saya. Sila klik disini.

16 December, 2008

PENDIDIKAN ANAK-ANAK DALAM ISLAM

Sebagai ibu bapa dan anggota masyarakat terutamanya kakitangan Taska, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memberikan asuhan dan didikan sempurna kepada kanak-kanak. Merekalah yang bakal memimpin negara dan warisan kita yang akan datang dan seterusnya.. Jadi, bekalkanlah mereka dengan panduan dan didikan yang berguna sewaktu usia kanak-kanak mereka. Bak kata pepatah, melentur buluh biar dari rebungnya.

Dalam catatan saya yang lalu, ada saya sebutkan konsep bermain sambil belajar dan ini juga banyak kita dengar diwar-warkan melalui media cetak, media elektronik dan juga melalui perbincangan oleh pakar-pakar dalam bidang kanak-kanak. Bermain adalah perkara yang paling asasi dalam dunia kanak-kanak.

Dalam memberikan pendidikan agamanya, biarlah jangan sampai melebihi batas kemampuan sebagai kanak-kanak. Islam adalah agama pertengahan dan sesuatu yang baik adalah pertengahannya.

Melalui laman web saya, saya ketengahkan buku bertajuk "Pendidikan Anak-Anak Dalam Islam" hasil karya Allahyarham Prof. Abdullah Nasih Ulwan dari Universiti Al-Malik Abdul Aziz, Jeddah. Asal buku ini adalah dalam bahasa Arab dan buku ini adalah terjemahan dalam Bahasa Melayu. Anda boleh layari laman web saya (mycreche.com.my) atau klik di sini. Buku ini sesuai dijadikan koleksi untuk panduan kita semua. Ambil yang baik. Seperti kata pepatah melayu "yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan. Jumpa lagi.

10 December, 2008

8 TIPS UNTUK SELERA MAKAN ANAK

Ramai ibu/pengasuh menghadapi masalah kanak-kanak yang tidak mahu makan. Ini adalah kerana kebanyakan kanak-kanak hanya mahu minum susu sahaja atau hanya makan satu jenis makanan sahaja, terutamanya makanan ringan. Akibatnya, berat badan mereka menurun seterusnya mengganggu tumbesarannya dan sudah tentunya ibu/pengasuh akan menghadapi tekanan dengan masalah ini.

Suka saya mengingatkan supaya ibu/pengasuh jangan menggunakan paksaan supaya anak memakan apa saja yang dihidangkan. Cara ini akan hanya menambah tekanan kepada diri ibu/pengasuh dan juga kanak-kanak itu sendiri. Jadi, tiada situasi menang-menang dengan cara ini.

Berikut adalah 8 tips untuk ibu/pengasuh yang menghadapi masalah ini :-
  1. Berikan pelbagai pilihan makanan yang bersesuaian dengan usia kanak-kanak, tetapkan waktu makan, menikmati 'snack' menjadikan waktu makan adalah waktu yang disenanginya.
  2. Berikan contoh pemakanan yang sihat kepada kanak-kanak dan tunjukkan anda benar-benar menyukainya. Cuba elak membuat rungutan mengenai makanan yang tidak anda sukai.
  3. Perlu diingat bahawa kanak-kanak memiliki perut yang kecil. Jadi, jangan longgokkan makanan dalam pinggan mereka.
  4. Untuk proses tumbesarannya dan mengekalkan kadar tenaga, kanak-kanak perlu kerap makan. Hidangannya adalah terdiri dari 3 kali makan dan dua kali makanan ringan dalam sehari.
  5. Perkara yang paling penting dalam penyediaan makanan untuk kanak-kanak adalah jenis makanan berkhasiat dihadapan mereka tanpa perlu menekankan berapa banyak yang dinikmati. Kualiti makanan yang diambil lebih utama dari kuantiti.
  6. Sekali lagi, tetapkan satu masa makan yang khusus setiap hari sekalipun ia akan membosankan anda. Hidangkan mereka pilihan makanan yang sama untuk beberapa kali dalam seminggu, mungkin anda mampu mengesan makanan yang paling disukainya.
  7. Seeloknya jangan cuba merasuah kanak-kanak kerana mereka akan makan kerana terpaksa untuk mendapatkan hadiah yang akhirnya nanti mereka akan langsung membenci makanan itu.
  8. Hadkan pengambilan cecair seperti susu, jus dan air sebelum 1 jam atau 2 jam sebelum makan kerana mengambil cecair terlalu banyak akan hanya mengurangkan selera makan mereka.
Usaha yang berterusan tanpa mengenal jemu adalah tanggungjawab para ibu/pengasuh. Ini bertujuan untuk memastikan tumbesaran kanak-kanak yang sihat demi masa depan mereka. Masa depan mereka bergantung dari didikan dan asuhan yang diterima dari para ibu/pengasuh. Tampilkan contoh yang baik untuk mereka dan semoga anda berjaya dalam usaha pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak. Jumpa lagi!

03 December, 2008

PERNIAGAAN TASKA

"TASKA" adalah singkatan kepada perkataan "Taman Asuhan Kanak-Kanak", bermaksud mana-mana premis yang menerima masuk 4 orang atau lebih kanak-kanak di bawah umur 4 tahun selain dari isi rumah, diterima masuk untuk dijaga dengan upah.

Bagi anda yang berminat untuk memulakan Perniagaan Taska, boleh dapatkan borang permohonan pendaftaran bersama Buku Garis Panduan Taska daripada Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah anda yang berharga RM10.

Dibawah ini saya kongsikan bersama anda senarai dokumen yang diperlukan dalam proses untuk Pendaftaran Taska :-

  1. Salinan lesen perniagaan dari SSM (ROB/ROC) yang diakui sah.
  2. Surat sokongan dari Jabatan Perancang Bandar seperti MPKJ/MPSJ/MBSA (salinan diakui sah)
  3. Surat sokongan dari Jabatan Kesihatan MBPJ/MPSJ/MBSA (salinan diakui sah)
  4. Surat sokongan Jabatan Bomba dan Penyelamat seperti JBP Kajang/Bangi (salinan diakui sah)
  5. Borang Jadual 11 seperti yang saya nyatakan pada permulaan catatan ini.
  6. Jadual Aktiviti. Jadual adalah mengikut Perkembangan Menyeluruh untuk seminggu terbahagi kepada dua kumpulan umur. (i) 0-2 tahun (ii) 2-4 tahun
  7. Jadual Menu yang seimbang. Jadual menu untuk sebulan terbahagi kepada dua kumpulan umur juga. (i) 0-2 tahun (ii) 2-4 tahun
  8. Pelan lantai. Pelan asal yang menggambarkan sudut-sudut aktiviti dan lain-lain bahagian. Kiraan adalah dalam meter persegi.
  9. Penglibatan ibu bapa. Untuk program tahun terkini dan perancangan tahun hadapan. Ianya haruslah mengandungi tarikh, nama program dan jumlah kehadiran ibu bapa.
  10. Senarai kanak-kanak yang mengandungi nama, umur dan jantina.
  11. Senarai kakitangan yang mengandungi nama, umur, kelayakan dan salinan kad pengenalan yang diakui sah.
  12. Sijil Kursua Asas Asuhan Kanak-Kanak dan sijil-sijil berkaitan termasuk bagi Pengusaha, Penyelia dan Pengasuh (salinan diakui sah)
  13. Wang Pos/Cek (RM50.00), atas nama Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia. Bayaran ini disediakan setelah dokumen telah disemak dan disahkan lengkap oleh Pegawai TASKA.
  14. Pelan lokasi. Pelan dari jalan utama bagi memudahkan pihak JKM mengesan lokasi TASKA.
  15. Peraturan Taska yang disediakan oleh Pengusaha termasuk senarai harga yuran kanak-kanak.
Selamat berjaya dalam Perniagaan TASKA anda. Jumpa lagi!