22 December, 2008

APABILA 1+1 =2

Teruskan bacaan anda dibawah tajuk ini.

Memanglah 1+1 = 2. Ada yang kata 1+1, takkan dapat jawapan 2(pelik tapi benar). Disini saya bukanlah mahu menerangkan kepada anda formula yang kedua, tapi saya akan terangkan formula yang pertama dari sudut pandangan saya sendiri. Mungkin anda ada pandangan yang berbeza. Terpulanglah, tepuk dada, tanya diri sendiri. :)

Di sini, yang saya maksudkan adalah apabila anda ibu bapa/pengasuh mendapat anak yang kedua dibawah asuhan/jagaan anda. Adalah menjadi tanggungjawab setiap dari kita yang dewasa untuk bersedia segala kemungkinan yang akan berlaku apabila anda mula mendapat seorang lagi anak. Pada permulaan sebelum kehadiran anak kedua, kebanyakkan anak pertama akan rasa teruja. Iyelah, dapat kawan barulah katakan. Tiba-tiba, sebaik saja yang sulung menerima kehadiran yang kedua, maka akan berlaku konflik dalamannya. Sama ada positif atau negatif, kadangkala kita sendiri tak sedar.

Jika anda menghantar anak-anak ini ke TASKA, yang sulung akan dipisahkan tempat masing-masing. Ada hikmahnya, kerana bayi mempunyai antibodi yang agak lemah dan mudah dijangkiti penyakit jika bersama kanak-kanak yang lebih dewasa darinya. Sebagai ibu bapa, anda harus faham dengan peraturan yang dinyatakan oleh pihak pentadbir TASKA.

Yang menjadi masalah adalah apabila ibu bapa sendiri menggalakkan anak yang lebih dewasa untuk berada bersama bayi mereka di tempat yang sama. Apabila ini dibenarkan, pelbagai perkara harus di ambil kira. Antaranya, anda mungkin hanya akan lebih memudahkan pengasuh dalam urusan mereka. Ini kerana kadang kala anak sulung lebih teruja untuk melakukan tugas yang sepatutnya dilakukan oleh pengasuh. Sebagai contoh, memberi susu kepada bayi, menukarkan lampin bayi, mendukung bayi dan jangan terperanjat kadangkala sehingga memandikan bayi anda! Jika ini berlaku, bayangkanlah bagaimana perasaan pengasuh yang anda amanahkan untuk menjaga bayi tersebut. Mungkin anda kata "sukalah dia, ada pembantu!". Sebenarnya anda seolah-olah sudah ada ketidakpercayaan dalam diri terhadap pengasuh atau TASKA tersebut.

Mungkin juga, secara kebetulan ketika yang sulung sedang menyusukan atau mendukung atau menukarkan lampin, datang orang lain/ibu bapa bayi yang lain di TASKA itu. Anda pasti tahu apa yang bermain dalam fikiran mereka?

18 December, 2008

MENGENAI ASUHAN & DIDIKAN KANAK-KANAK

Pengertian kanak-kanak mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 bermaksud "seseorang yang berumur di bawah 18 tahun. Terdapat pelbagai amalan asuhan kanak-kanak yang di bawa dari barat seperti oleh Froebel, Dr.Maria Montessori, Glen Doman dan ramai lagi. Tak kurang juga amalan asuhan sentuhan Islam yang murni dipaparkan melalui sejarah hidup junjungan besar kita Muhammad s.a.w dan para sahabat baginda serta cendikiawan Islam tersohor didunia.

Froebel percaya kanak-kanak belajar dari persekitarannya dan pembentukan peribadi dipengaruhi oleh cara kanak-kanak bermain. Alat-alat permainan yang digunakan oleh kanak-kanak perlu dipilih dengan teliti bagi tujuan untuk menyokong perkembangan kanak-kanak.

Dr.Maria Montessori percaya bahawa perkembangan seseorang kanak-kanak khususnya apabila kanak-kanak diberi peluang menyentuh, mencuba dan menggunakan peralatan khas dan persekitarannya yang disediakan secara tersusun.

Glen Doman percaya bahawa perkembangan atau potensi intelek seseorang kanak-kanak kurang upaya (segi mental) dapat dirangsang dengan penggunaan pelbagai "flash card". Dengan cara ini, kanak-kanak dapat didedahkan kepada perkataan dan ide sebelum ia mencapai tahap mengenal, memahami atau menerap makna sesuatu konsep.

Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia menggalakkan amalan asuhan kanak-kanak yang memberi tumpuan kepada perkembangan menyeluruh seseorang kanak-kanak yang merangkumi perkembangan fizikal, sosio-emosi, kognitif dan bahasa. Ianya memberi tumpuan kepada tahap kebolehan dan kesediaan seseorang kanak-kanak melalui persekitaran dan aktiviti yang dirancang.

Dalam Islam, kita biasa mendengar dalil yang ditegaskan oleh Nabi s.a.w, ialah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari daripada Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya ; "Setiap anak dilahirkan atas fitrah, maka kedua-dua ibu bapanyalah yang meyahudikannya, atau menasranikannya, atau memajusikannya."

Jadi, tugas memilih cara asuhan dan didikan kanak-kanak adalah paling utama terletak diatas bahu ibu bapa yang melahirkan mereka didunia ini. Kepada anda yang bakal bergelar ibu dan bapa, juga pendidik yang bakal mendidik anak-anak bangsa anda boleh dapatkan buku berjudul "Pendidikan Anak-Anak Dalam Islam" melalui saya. Sila klik disini.

16 December, 2008

PENDIDIKAN ANAK-ANAK DALAM ISLAM

Sebagai ibu bapa dan anggota masyarakat terutamanya kakitangan Taska, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memberikan asuhan dan didikan sempurna kepada kanak-kanak. Merekalah yang bakal memimpin negara dan warisan kita yang akan datang dan seterusnya.. Jadi, bekalkanlah mereka dengan panduan dan didikan yang berguna sewaktu usia kanak-kanak mereka. Bak kata pepatah, melentur buluh biar dari rebungnya.

Dalam catatan saya yang lalu, ada saya sebutkan konsep bermain sambil belajar dan ini juga banyak kita dengar diwar-warkan melalui media cetak, media elektronik dan juga melalui perbincangan oleh pakar-pakar dalam bidang kanak-kanak. Bermain adalah perkara yang paling asasi dalam dunia kanak-kanak.

Dalam memberikan pendidikan agamanya, biarlah jangan sampai melebihi batas kemampuan sebagai kanak-kanak. Islam adalah agama pertengahan dan sesuatu yang baik adalah pertengahannya.

Melalui laman web saya, saya ketengahkan buku bertajuk "Pendidikan Anak-Anak Dalam Islam" hasil karya Allahyarham Prof. Abdullah Nasih Ulwan dari Universiti Al-Malik Abdul Aziz, Jeddah. Asal buku ini adalah dalam bahasa Arab dan buku ini adalah terjemahan dalam Bahasa Melayu. Anda boleh layari laman web saya (mycreche.com.my) atau klik di sini. Buku ini sesuai dijadikan koleksi untuk panduan kita semua. Ambil yang baik. Seperti kata pepatah melayu "yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan. Jumpa lagi.

10 December, 2008

8 TIPS UNTUK SELERA MAKAN ANAK

Ramai ibu/pengasuh menghadapi masalah kanak-kanak yang tidak mahu makan. Ini adalah kerana kebanyakan kanak-kanak hanya mahu minum susu sahaja atau hanya makan satu jenis makanan sahaja, terutamanya makanan ringan. Akibatnya, berat badan mereka menurun seterusnya mengganggu tumbesarannya dan sudah tentunya ibu/pengasuh akan menghadapi tekanan dengan masalah ini.

Suka saya mengingatkan supaya ibu/pengasuh jangan menggunakan paksaan supaya anak memakan apa saja yang dihidangkan. Cara ini akan hanya menambah tekanan kepada diri ibu/pengasuh dan juga kanak-kanak itu sendiri. Jadi, tiada situasi menang-menang dengan cara ini.

Berikut adalah 8 tips untuk ibu/pengasuh yang menghadapi masalah ini :-
  1. Berikan pelbagai pilihan makanan yang bersesuaian dengan usia kanak-kanak, tetapkan waktu makan, menikmati 'snack' menjadikan waktu makan adalah waktu yang disenanginya.
  2. Berikan contoh pemakanan yang sihat kepada kanak-kanak dan tunjukkan anda benar-benar menyukainya. Cuba elak membuat rungutan mengenai makanan yang tidak anda sukai.
  3. Perlu diingat bahawa kanak-kanak memiliki perut yang kecil. Jadi, jangan longgokkan makanan dalam pinggan mereka.
  4. Untuk proses tumbesarannya dan mengekalkan kadar tenaga, kanak-kanak perlu kerap makan. Hidangannya adalah terdiri dari 3 kali makan dan dua kali makanan ringan dalam sehari.
  5. Perkara yang paling penting dalam penyediaan makanan untuk kanak-kanak adalah jenis makanan berkhasiat dihadapan mereka tanpa perlu menekankan berapa banyak yang dinikmati. Kualiti makanan yang diambil lebih utama dari kuantiti.
  6. Sekali lagi, tetapkan satu masa makan yang khusus setiap hari sekalipun ia akan membosankan anda. Hidangkan mereka pilihan makanan yang sama untuk beberapa kali dalam seminggu, mungkin anda mampu mengesan makanan yang paling disukainya.
  7. Seeloknya jangan cuba merasuah kanak-kanak kerana mereka akan makan kerana terpaksa untuk mendapatkan hadiah yang akhirnya nanti mereka akan langsung membenci makanan itu.
  8. Hadkan pengambilan cecair seperti susu, jus dan air sebelum 1 jam atau 2 jam sebelum makan kerana mengambil cecair terlalu banyak akan hanya mengurangkan selera makan mereka.
Usaha yang berterusan tanpa mengenal jemu adalah tanggungjawab para ibu/pengasuh. Ini bertujuan untuk memastikan tumbesaran kanak-kanak yang sihat demi masa depan mereka. Masa depan mereka bergantung dari didikan dan asuhan yang diterima dari para ibu/pengasuh. Tampilkan contoh yang baik untuk mereka dan semoga anda berjaya dalam usaha pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak. Jumpa lagi!

03 December, 2008

PERNIAGAAN TASKA

"TASKA" adalah singkatan kepada perkataan "Taman Asuhan Kanak-Kanak", bermaksud mana-mana premis yang menerima masuk 4 orang atau lebih kanak-kanak di bawah umur 4 tahun selain dari isi rumah, diterima masuk untuk dijaga dengan upah.

Bagi anda yang berminat untuk memulakan Perniagaan Taska, boleh dapatkan borang permohonan pendaftaran bersama Buku Garis Panduan Taska daripada Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah anda yang berharga RM10.

Dibawah ini saya kongsikan bersama anda senarai dokumen yang diperlukan dalam proses untuk Pendaftaran Taska :-

  1. Salinan lesen perniagaan dari SSM (ROB/ROC) yang diakui sah.
  2. Surat sokongan dari Jabatan Perancang Bandar seperti MPKJ/MPSJ/MBSA (salinan diakui sah)
  3. Surat sokongan dari Jabatan Kesihatan MBPJ/MPSJ/MBSA (salinan diakui sah)
  4. Surat sokongan Jabatan Bomba dan Penyelamat seperti JBP Kajang/Bangi (salinan diakui sah)
  5. Borang Jadual 11 seperti yang saya nyatakan pada permulaan catatan ini.
  6. Jadual Aktiviti. Jadual adalah mengikut Perkembangan Menyeluruh untuk seminggu terbahagi kepada dua kumpulan umur. (i) 0-2 tahun (ii) 2-4 tahun
  7. Jadual Menu yang seimbang. Jadual menu untuk sebulan terbahagi kepada dua kumpulan umur juga. (i) 0-2 tahun (ii) 2-4 tahun
  8. Pelan lantai. Pelan asal yang menggambarkan sudut-sudut aktiviti dan lain-lain bahagian. Kiraan adalah dalam meter persegi.
  9. Penglibatan ibu bapa. Untuk program tahun terkini dan perancangan tahun hadapan. Ianya haruslah mengandungi tarikh, nama program dan jumlah kehadiran ibu bapa.
  10. Senarai kanak-kanak yang mengandungi nama, umur dan jantina.
  11. Senarai kakitangan yang mengandungi nama, umur, kelayakan dan salinan kad pengenalan yang diakui sah.
  12. Sijil Kursua Asas Asuhan Kanak-Kanak dan sijil-sijil berkaitan termasuk bagi Pengusaha, Penyelia dan Pengasuh (salinan diakui sah)
  13. Wang Pos/Cek (RM50.00), atas nama Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia. Bayaran ini disediakan setelah dokumen telah disemak dan disahkan lengkap oleh Pegawai TASKA.
  14. Pelan lokasi. Pelan dari jalan utama bagi memudahkan pihak JKM mengesan lokasi TASKA.
  15. Peraturan Taska yang disediakan oleh Pengusaha termasuk senarai harga yuran kanak-kanak.
Selamat berjaya dalam Perniagaan TASKA anda. Jumpa lagi!


28 November, 2008

CARA BERKESAN UNTUK KEBERSIHAN TANGAN

Topik ni paling di ambil ringan oleh kebanyakkan kita. Setuju? Tapi inilah langkah pencegahan awal yang penting bagi mengelakkan jangkitan penyakit terutamanya di Taska.

Kalau mengikut apa yang diajar sewaktu kursus dulu, caranya begini :-
  1. Basahkan tangan dan sabunkan.
  2. Lekapkan kedua telapak tangan.
  3. Telapak tangan kanan di atas belakang tangan kiri dan telapak kiri di atas belakang tangan kanan dan sebaliknya.
  4. Lekapkan kedua telapak tangan dengan jari berselang seli.
  5. Jari-jari kedua telapak tangan saling mencengkam dalam arah yang berlawanan.
  6. Menggosok sekeliling ibu jari dalam genggaman telapak kanan dan sebaliknya.
  7. Jejari tangan kanan dirapatkan dan digosokkan di atas telapak tangan kiri dan sebaliknya.
  8. Gosok secara putaran pada pergelangan tangan.
  9. Bilas bersih.
Selamat mencuba!

27 November, 2008

TANGAN, KUKU & MULUT

Hari ini saya ingin kongsikan bersama anda mengenai penyakit yang biasa kita dengar, baca dan boleh berlaku di Taska terutamanya iaitu penyakit tangan, kuku & mulut (HFMD).

Bagaimana ianya berjangkit?

Penyakit ini dipercayai boleh berjangkit melalui sentuhan secara langsung melalui hingus dan kahak pesakit. Jangkitan biasanya berlaku pada minggu pertama pesakit. Tetapi, ia tidak merebak melalui haiwan.

Apakah tanda dijangkiti penyakit ini?
  • Pesakit mulanya demam diikuti badan rasa tidak selesa, kemudian selepas dua hari mengalami radang dalam mulut. Radang biasanya terdapat pada gusi dan bahagian dalam pipi.
  • Ruam, kadangkala melecet timbul selepas 1-2 hari menyerupai bintik merah sama ada timbul atau rata di tapak tangan dan tapak kaki. Ruam juga boleh timbul di bahagian punggung.
  • Pesakit hanya ada satu tanda sama ada ruam atau radang mulut.
  • Boleh berlaku diseluruh dunia, biasanya pada musim panas dan awal musim luruh.
Apakah cara merawat?

Boleh dikatakan tiada rawatan khas untuk penyakit ini. Cuma rawatan yang diberi adalah untuk mengelakkan demam, sakit belakang dan radang mulut.

Apakah cara mencegahnya?
  • Antara langkah pencegahannya adalah mencuci tangan dengan kerap terutamanya selepas menukar lampin bayi.
  • Menyah jangkitan kuman pada peralatan seisi rumah dan pakaian(menggunakan cecair dengan mencampur 1 penutup penuh peluntur yang mengandungi klorin dan 1 gelen air).
  • Anda dinasihatkan supaya, kanak-kanak yang dijangkiti dijauhkan daripada sekolah, pusat jagaan kanak-kanak supaya tidak merebak untuk beberapa hari pertama. Kemungkinan ini boleh mengurangkan risiko jangkitan, tetapi tidak membanteras keseluruhan penularan wabak itu.
Jadi, ingatlah bahawa kebersihan tanggungjawab semua kerana mencegah adalah lebih baik dari mengubati. Jumpa lagi!

25 November, 2008

BIARKAN MEREKA BERPELUH !



Menurut Pakar Psikologi Perkembangan, Elaine Yong, adalah lebih baik bagi kanak-kanak bermain di luar berbanding di dalam rumah. Kebaikannya termasuklah kelebihan oksigen yang dihasilkan oleh pokok dan sinaran matahari yang membekalkan vitamin D bagi kesihatan mereka. Tambahan pula ruang di dalam rumah adalah terhad dan kurang selamat. Bermain di luar tidak semestinya ke taman atau padang permainan.

Membawa anak bersama dalam aktiviti membeli belah juga dapat menggalakkan aktiviti fizikal dengan cara berjalan pantas bagi 20 minit yang pertama terutama bagi mereka yang tinggal dikawasan bandar. Menurut beliau lagi, tindakan ibu bapa menghantar anak-anak menghadiri pelbagai kelas tambahan juga boleh memberi tekanan terhadap anak mereka sehinggakan ada kalanya si kecil tidak mampu 'bernafas'.

Bagi saya, ibu bapa dan pengasuh di Taska ; "biarkan mereka bebas berlari dan mengeluarkan peluh!" dengan pengawasan. Maklumlah sekarang ni, pelbagai kes penculikan melibatkan kanak-kanak dilaporkan yang amat membimbangkan. Semoga dijauhkan berlaku kepada anak-anak kita.

24 November, 2008

PANDUAN MEMANDIKAN BAYI

Kebersihan adalah berkait rapat dengan kesihatan. Ianya adalah suatu yang amat penting kepada setiap orang, terutamanya bayi bagi mengelakkan dari jangkitan penyakit supaya mereka dapat melalui perkembangan yang sempurna dari segi jasmani dan rohani. Kali ini saya ingin kongsikan dengan anda, terutamanya bakal ibu/pengasuh di Taska yang berminat untuk mengetahui mengenai cara untuk memandikan bayi. Mungkin bagi sesetengah anda memandang perkara ini sebagai sesuatu yang remeh/mudah. Tapi, jangan terperanjat, ada sesetengah ibu/pengasuh yang masih tidak tahu mengenai perkara ini.

Sebelum memulakan memandikan bayi, sediakan perkara yang berikut terlebih dahulu ;
  • Tempat yang selesa dan beralas untuk meletak bayi
  • Tuala kecil yang lembut
  • Tuala besar
  • Sabun dan syampu yang sesuai untuk bayi
  • Kapas, putik kapas
  • Bedak, lampin, baju dan seluar
  • Besen besar dan besen kecil untuk mencuci rambut. Tuangkan air sejuk kedalam setiap besen. Uji kepanasan air dengan siku atau belakang tapak tangan anda. Cuci tangan anda dengan bersih sebelum memandikan bayi. Elakkan memakai perhiasan ditangan anda seperti cincin dan gelang yang mungkin boleh menyebabkan kecederaan terhadap bayi.
Cara memandikan bayi ;
  1. Bawa bayi ketempat mandi. Letakkannya ditempat yang disediakan. Tanggalkan pakaiannya. Balut tubuh bayi dengan tuala besar.
  2. Lembapkan kapas, bersihkan matanya bermula dari arah hidung hingga ke hujung mata kiri dan kanan.
  3. Bersihkan telinga dan hidung menggunakan putik kapas yang lembap dan baru.
  4. Bersihkan muka dengan tuala kecil yang lembap dan lap hingga kering.
  5. Pegang kepala bayi mengarah kebawah kearah besen.
  6. Syampu rambutnya perlahan-lahan. Elak gunakan kuku untuk menggaru kepala bayi.
  7. Bilas rambut bayi dengan air hingga hilang kesan syampu.
  8. Lap rambutnya hingga kering dengan sebahagian dari tuala yang membalut tubuhnya.
  9. Tanggalkan tuala dari tubuh bayi.
  10. Sokong kepala bayi dengan tangan kiri, pegang kuat di bawah ketiak kirinya dengan tangan kanan.
  11. Masukkan bayi perlahan-lahan ke dalam besen dengan memasukkan kakinya terlebih dahulu.
  12. Basuhkan tangan, sabun dan bersihkan di pelipat dan ketiak, serta seluruh badan dan bilas dengan air sehingga bersih.
  13. Untuk memandikan bahagian belakang badan dan punggung, sokong bahagian depan dengan tangan kanan anda dan pegang kuat di bawah ketiak kiri.
  14. Bila selesai, angkat perlahan-lahan dari besen.
  15. Lap badan terutama di pelipat dan . Sapukan bedak keseluruh badannya.
  16. Pakaikan baju, lampin dan seluar.
Bercakap dan bermesralah dengan bayi semasa memandikannya. Biarkan bayi menepuk air di dalam besen buat seketika. Berikan juga alat permainan jenis plastik kepada bayi semasa ia mandi.

Semoga panduan ini dapat membantu anda, bakal ibu/pengasuh. Jumpa lagi!

22 November, 2008

PENYUSUAN SUSU IBU

Berdasarkan Polisi Kebangsaan Penyusuan Susu Ibu, adalah digalakkan menyusukan anak dengan susu ibu sahaja selama 6 bulan dan meneruskan sehingga anak berumur 2 tahun atau lebih. Manakala makanan tambahan pula perlu dimulakan semasa anak berumur 4-6 bulan.

Bagi ibu yang bekerja, perahan susu perlu dimulakan 2 minggu sebelum mula bekerja semula. Cara perahan boleh menggunakan tangan/jari atau mesin perahan yang terdapat dipasaran. Susu ibu boleh disimpan dalam bekas kecil yang bersih dan bertutup di mana setiap satu bekas adalah untuk satu susuan. Tulis tarikh serta masa dan disimpan dalam peti sejuk. Jika peti sejuk dingin beku (2 pintu) ianya boleh tahan sehingga 3 bulan. Jika diletakkan dirak pertama teratas, ianya boleh bertahan selama 48-72 jam. Manakala bagi suhu bilik, ianya mampu bertahan selama 4-8 jam.

Sebelum digunakan simpanan susu ini, rendam bekas susu dalam air suam. Perahan susu yang telah dipanaskan dan baki susu tidak boleh disimpan semula. Janganlah dimasak atau menggunakan microwave. Kaedah yang boleh digunakan dalam usaha penyusuan seperti ini adalah dengan cara menggunakan sudu, syringe dan cawan.

Semoga maklumat ini boleh dimanfaatkan bersama oleh ibu-ibu yang bakal memulakan pekerjaan dan juga pengasuh yang budiman.

20 November, 2008

KEMATIAN BAYI AKIBAT TERSEDAK SUSU

Anda lihat wajah bayi ini. Usianya lingkungan 4 bulan, tapi telah pergi terlebih dahulu menemui penciptaNya. Sejak beberapa hari ini saya tidak mengikuti berita semasa dan tadi saya dikejutkan melalui email dari rakan blog yang saya sertai. Menyedihkan sangat, mengetahui bahawa anak ini telah tiada, kematian dipercayai akibat tersedak susu sewaktu dalam jagaan pihak Taska , lokasinya di Putrajaya.

Sudah agak lama isu seperti ini tidak kedengaran didada akhbar. Ini adalah serius, bukan main-main apabila melibatkan kematian terutamanya bayi. Bagi pihak pengusaha Taska yang lainnya, ambillah ini sebagai pengajaran dan jadikan peringatan dalam urusan pentadbiran di Taska anda. Cuba kaji dimana silapnya. Adakah anda sudah mengambil langkah berjaga-jaga dan lebih "risau" atau anda membiarkan pengasuh-pengasuh berada dalam fikiran yang "kacau". Anak ini adalah amanah dari Allah, kepada kita semua. yang dewasa. Jadi fikir-fikirkanlah!

Takziah dari saya untuk keluarga Puan Adeline Christine Awent Jon Abdullah dan suami. Semoga bersabar dengan ujianNya ini dan semoga Allah cucuri rahmat keatas rohnya. Amin...

17 November, 2008

LAGU KANAK-KANAK

Post kali ini, saya nak berkongsi dengan anda lagu untuk kanak-kanak. Boleh juga dinyanyikan dengan anak anda dirumah. Antaranya adalah lagu gajah. Cuba baca senikata dibawah ;

Gajah berkaki empat (gelek-gelek)
Belalainya sangat panjang
Cepatlah adik cepat
Tapi gajah tak makan orang

Kalau adik ingin tahu
Gajah makan tebu
La la la la la la la..la la la la la la la..
Gajah makan tebu, umph!

Kemudian cuba dengarkan bagaimana untuk menyanyikannya seperti dalam klip video ini, atau boleh juga mengikut kreativiti anda.

video

Lagu ini boleh dinyanyikan semasa atau selepas aktiviti bercerita, mewarna, mengenal haiwan dan sebagainya. Perkataan "gajah" boleh juga ditukar dengan binatang lain, anggota badannya dan apa yang dimakan oleh binatang tersebut. Selamat mencuba.

15 November, 2008

ANTARA BELAJAR DAN BERMAIN

Kita banyak didedahkan mengenai konsep ini dalam proses pendidikan dan pengasuhan kanak-kanak. Belajar sambil bermain atau belajar ketika bermain, hampir sama maksudnya yang bertujuan menggalakkan perkembangan kanak-kanak dari sudut fizikal, kognitif, bahasa dan sosio-emosinya. Sewaktu mengikuti Kursus Asas Asuhan Kanak-Kanak anjuran Persatuan Taska Negeri Selangor, konsep inilah juga yang diterapkan sepanjang kursus tersebut.

Waktu bermain adalah amat penting diawal usia kanak-kanak yang merupakan satu cara pendidikan secara tidak formal. Alangkah baiknya jika ibu bapa dapat meluangkan waktu untuk bermain bersama anak-anak dalam usaha memupuk nilai serta membina hubungan positif bersama mereka.

MAGIK KIRAAN 1,2,3..

Kira 1,2,3.. di sini bermaksud cara bagaimana anda boleh mendisplinkan kanak-kanak tanpa menggunakan sebarang objek seperti rotan, pembaris dsbnya. Tidak menyakitkan kanak-kanak dan tidak perlu untuk kita membebel setiap hari. Seperti anak-anak saya sendiri, saya menggunakan cara ini apabila saya perlukan mereka melakukan sesuatu dengan pantas. Ketika memakai baju misalnya, atau mengemaskan kembali barangan permainan mereka yang berselerakan. Dengan cara ini, tidaklah nampak sangat yang kita sedang marah. Selepas itu, anda akan dapati anak-anak fikir anda sedang bermain dengan mereka. Cubalah !


14 November, 2008

LUAHAN RASA SEORANG IBU

Kali ini mari kita amati luahan rasa dari seorang ibu. Katanya " setiap tindakan menyalahi oleh anak kenalah cari puncanya atau sejarahnya mengapa dan kenapa anak-anak bertindak demikian. Usia yang paling mencabar bagi anak-anak ini adalah peralihan dari sekolah rendah ke menengah kerana umumnya semua tahu bahawa masa inilah saat anak-anak ini melalui perubahan perkembangan drastik dari alam kanak-kanak ke alam remaja. Mereka biasanya melihat dengan mata dan akal yang singkat, manakala sebagai orang dewasa melihat dengan mata, hati dan akal." Dan lagi katanya "Ibu bapa janganlah emosional serta menyalahkan guru dan berpihak kepada anak semata-mata. Jika permasalahan itu benar berpihak kepada anak, terimalah dengan hati yang terbuka. Dengarlah hatinya, dalami jiwanya, belailah emosinya dengan cara berhikmah".

Saya sebagai ibu, akan cuba mempersiapkan diri untuk menangani karenah anak-anak yang semakin membesar. Anak-anak zaman ini terdedah dengan dunia informasi tanpa sempadan. Menjadi tanggungjawab kita untuk memberi panduan dan tunjuk ajaran yang sebenar dalam proses mereka melalui liku-liku kehidupan akan datang. Jangan biarkan mereka dengan dunia mereka secara bersendirian. Anak-anak adalah bakal pemimpin pada masa akan datang. Semoga mereka akan menjadi anak-anak yang cemerlang, gemilang dan terbilang untuk negara yang tercinta ini.


11 November, 2008

ANAK MENGGIGIT

Baru-baru ini saya bertemu dengan rakan yang hampir buntu dengan masalah anak yang suka menggigit, terutama menggigit rakan sebayanya di Taska. Memang saya belum pernah mendengar anak berusia hampir 2 tahun yg suka menggigit. Ada juga yang menyarankan seperti berikut :-

1. Tepuk mulutnya,
2. Gigit dia balik on the spot, angkat jari kata jangan buat lagi
3. Suruh gigit tangan sendiri, tanya bagaimana rasanya,
4. Cubit mulutnya,
5. Beri syarat sebelum bermain, jangan gigit kawan yang lain,

Masalah seperti ini memang merungsingkan sesiapa saja. Mungkin ianya adalah cara anak itu meluahkan perasaannya. Sebagai ibu atau pengasuh, sebaiknya kita ambil pendekatan secara berlembut dulu dan diikuti secara tegas(bukan keras). Beri lebih sedikit perhatian kepada anak yang seperti ini. Perhatikan perlakuannya ketika bersama anak-anak yang lain. InsyaAllah kita akan dapat mengenalpasti puncanya dan dari situ langkah pencegahan dapat dilakukan lebih awal.

06 November, 2008

MENGAPA MEREKA MENANGIS?

Cuba kenal pasti sebab, puncanya tangisan itu.

Pertamanya, takut sebab tak pernah jumpa dengan teman sekeliling. Ini biasa berlaku.


Keduanya, tak pernah terpisah dengan ibu atau bapa. Juga biasa, lama kelamaan mereka akan dapat membiasakan diri dengan kawan-kawan dan pengasuh.

Ketiganya, mungkin sebab tidak sihat waktu itu. Jadi, ibu bapa silalah beri sedikit waktu untuk bersama anak anda dirumah. Sebolehnya anak yang tidak sihat janganlah dibiarkan di TASKA untuk tempoh waktu yang lama. Perasaan anak perlu diambilkira. Dapatkan rawatan awal untuk anak anda. Jangan biarkan ianya berlarutan.

Keempatnya, mungkin anak berasa tidak selesa. Mungkin belum ditukar lampinnya, belum dimandikan. Mungkin juga dia lapar, perlukan susu. Pengalaman saya, perkara ini sering berlaku. Jadi kerjasama ibu bapa amat penting. Waktu awal pagi, biasanya pengasuh sedang sibuk menyambut anak-anak yang datang. Jadi, bekalkanlah susu yang disediakan dari rumah, gantikan lampinnya at least jikalau anda kesuntukan masa untuk memandikan mereka.

Banyak lagi sebab yang mungkin anda boleh kongsikan bersama disini. So, silalah kongsi pengalaman anda disini.

05 November, 2008

BAGAIMANA JIKALAU ANAK MENANGIS?

Berbalik pada kisah anak yang pertama kali di dunia baru.Cuba beri masa untuknya membiasakan diri dengan suasana di tempat baru. Ibu bapa tidak perlu berada terlalu lama di sisi anak mereka. Bercakap dengan nada memujuk anak, beri pelukan erat, beritahu anak mengapa mereka perlu ada di situ dan serahkan kepada kakitangan yang bertugas. Mereka tahu apa yang perlu dibuat. Kepercayaan dihati anda amat perlu dan sangat dihargai.

03 November, 2008

HARI PERTAMA BAGI PENGASUH

Kita lupakan sebentar kisah anak-anak. Bagaimana pula persediaan bagi pengasuh yang bakal memulakan tugas di TASKA? Pertamanya, perlu ada persediaan dari segi mental dan fizikal. Maksud saya, anda perlu bersedia menerima sebarang kemungkinan apabila menerima kanak-kanak yang akan berada di TASKA. Anda telah membuat keputusan untuk terlibat dalam industri ini. Pastikan anda betul-betul berminat dengan kanak-kanak dan bayi. Adakalanya anda akan menerima tanggungjawab menjaga bayi yang berusia kurang dari 3 bulan. Pastikan anda sentiasa peka dengan persekitaran anda. Harus faham jenis tangisan dan gerak -geri kanak-kanak atau bayi yang berada dibawah pengawasan anda. Tanggungjawab anda adalah memastikan segala keperluan kanak-kanak itu dipenuhi dan berada dalam keadaan selamat sepertimana yang diharapkan oleh ibu bapa mereka.

01 November, 2008

HARI PERTAMA DI TASKA

Untuk kali ini, mari kita berkongsi pengalaman mengenai hari pertama anak-anak di TASKA. Kebiasaannya seperti kebanyakkan anak-anak yang lain, pastinya ada anak yang akan memeluk sekuatnya ibu bapa, menangis, meraung sekuat hati. Puas dipujuk, tak mahu jua dia reda meskipun telah beberapa kali dibawa melihat persekitaran TASKA sebelum itu. Bagi ibu bapa yang sudah kesuntukan masa, mereka akan menyerahkan tanggungjawab memujuk anak kepada pengasuh. Ada juga anak yang tak kisah, keluar dari kereta, diserah kepada pengasuh dan melambai dengan senyuman kepada ibu bapa mereka.

Jadi, anak anda bagaimana pula?

30 October, 2008

CUBA HADAPI KARENAH KANAK-KANAK

Dari catatan saya yang lalu, ada saya nyatakan bahawa menghadapi karenah kanak-kanak bukanlah sesuatu yang mudah. Ini tidak pula untuk saya melemahkan semangat anda yang pernah atau masih berhasrat untuk memulakan TASKA sendiri atau ingin cuba bekerja dalam industri ini. Sama ada untuk menambah pendapatan atau sebagai usaha menimba pengalaman. Teruskan menimba ilmu dalam bidang ini, kerana ilmu tak akan pernah habis untuk kita cari.

Anda, bagaimana?

29 October, 2008

KARENAH KANAK-KANAK

Hi!, nama saya Sapiah Hussien. Saya adalah ibu kepada sepasang cahayamata. Berpengalaman menjaga anak sendiri dan berpengalaman 2 tahun bekerja dalam industri TASKA. Pengalaman ini menambah pengetahuan saya mengenai karenah atau ragam kanak-kanak yang mula membesar, ditambah dengan pembacaan serta perkongsian maklumat oleh ibubapa. Pengalaman menjaga anak sendiri dan menjaga anak-anak di TASKA adalah berbeza. Di TASKA, jika terdapat 50 orang kanak-kanak, maka kita akan bertemu dengan 50 karenah yang berbeza. Maka, janganlah mengganggap bahawa tugas mengasuh dan mendidik adalah mudah!